Search This Blog

Tuesday, November 27, 2012

40 rumah dilanda banjir kilat



KLANG 24 Nov. - Hujan lebat selama beberapa jam sejak pukul 3 pagi ini mengakibatkan kira-kira 40 buah rumah di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru di sini dilanda banjir kilat.
Menurut penduduk, rumah mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter dan banjir itu merupakan antara yang terburuk tahun ini selepas kejadian serupa beberapa minggu lalu.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, selain rumah kediaman, beberapa premis perniagaan juga turut dinaiki air sehingga memaksa pemiliknya menutup perniagaan lebih awal.
Banjir kilat tersebut turut menyebabkan beberapa laluan masuk ke beberapa majlis perkahwinan dan cukur jambul yang dirancang penduduk sekitar terjejas.
Seorang penduduk, Abdul Rahman Kasmiran, 60, mendakwa, banjir kilat itu berpunca daripada masalah kerja-kerja mendalamkan parit yang tidak seimbang.
"Daripada pemerhatian saya, pihak berkuasa hanya memfokuskan kerja-kerja mendalamkan parit di saliran yang menghala ke Meru manakala saliran ke Kapar pula sering dibiarkan.
"Ini merupakan kali ketiga kawasan rumah saya dilanda banjir kilat dan kali ini merupakan yang terburuk," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.
Selain itu, dua laluan masuk utama Masjid As-Shariff di sini juga terjejas teruk apabila ditenggelami air setinggi paras lutut.
Seorang peniaga durian, Mali Ahmad, 60, berkata, kejadian yang telah beberapa kali terjadi sepanjang tahun ini menyukarkan jemaah untuk datang ke masjid berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121125/wk_03/40-rumah-dilanda-banjir-kilat#ixzz2DLT5GdSi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment