4 motosikal hangus angkara khianat
Mohd Zairi menunjukkan motosikal yang terbakar di bawah blok JPPR Muhibbah II, Jalan Puchong, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Lagi perbuatan khianat dilaporkan dan kali ini empat motosikal yang diletakkan di bawah blok J, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah II, Jalan Puchong, di sini, terbakar awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu disedari peronda skim rondaan sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di situ yang melalui kawasan itu selepas selesai tugasan rondaan.

Kebakaran itu juga menyebabkan seorang warga emas, Hasnah Ahmad, 63, yang tinggal di tingkat satu blok berkenaan pengsan setelah sesak nafas terhidu asap tebal.

Hasnah berkata, dia yang juga penghidap sakit jantung, terkejut sebaik sahaja melihat api yang marak di bahagian bawah blok berdepan unit rumahnya.

Menurutnya, sebelum itu dia sudah terdengar bunyi bising dari bahagian bawah blok dan menyangka ada pergaduhan.

“Anak saya buka pintu dan jerit ada kebakaran. Saya terkejut dan bangun untuk melihatnya. Sebaik keluar, saya lihat api sedang marak, dan asap berkepul-kepul naik ke atas.

“Saya rasa seperti mahu mati, sebelum tidak sedarkan diri. Syukur tiada apa-apa berlaku. Saya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Pengerusi KRT, PPR Kampung Muhibah II, Mohd Rasidi Abd Hadi berkata, kejadian itu berlaku sebaik sahaja selesai tamat waktu rondaan.

Katanya, sebelum itu, pasukan peronda ada melihat kelibat individu,  dipercayai penduduk setempat yang sebelum ini menjadi suspek kegiatan kecurian di situ.

“Kami percaya kebakaran itu tindakan sengaja yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik empat motosikal berkenaan, R Saravanan, 34, berkata, ketika kejadian, dia berada di Perak bercuti sempena Deepavali.

“Saya dimaklumkan oleh jiran ketika kejadian, tetapi apa boleh buat. Saya kerugian kira-kira RM20,000. Semua motosikal sudah habis dibayar,” katanya.