Awi Che Min menunjukkan kecederaan dialami.
Awi Che Min menunjukkan kecederaan dialami.
Bahagian kecederaan dialami.
Bahagian kecederaan dialami.
TELUK BIDARA – Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa samun dua penjenayah bersenjata yang menceroboh kediamannya di sini, awal pagi tadi.

Bukan setakat kehilangan wang hasil titik peluhnya menangkap ikan, malah nelayan berusia 75 tahun itu turut dibelasah penjenayah yang tidak berhati perut itu.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu dipercayai berlaku ketika Awi Che Min, sedang tidur di rumahnya dekat sini, sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali, salah seorang daripadanya memakai topeng.

Menurut mangsa, ketika sedang tidur, dia tiba-tiba dikejutkan oleh suspek yang meminta wang daripadanya selain turut mengacu senjata tajam ke arahnya.

Awi berkata, sebaik bingkas dari tidur, suspek sekali lagi mendesaknya menyerahkan wang sebelum mengikat tangannya dengan kain.

Warga emas itu menceritakan, tidak cukup mengikat tangan, suspek bertindak lebih ganas dengan menumbuk muka mangsa selain mengelar kepalanya dengan senjata tajam.

“Pak cik tak terdaya hendak melawan, jadi pak cik kata kalau nak duit ambillah.

“Selepas menyelongkar bawah tilam, dia berjaya menemui dompet lalu mengambil wang RM250,” kata Awi yang masih trauma dengan kejadian itu.

Menurut Awi, selepas berjaya mendapat habuan dihajati, dua penyamun berkenaan melarikan diri.

Dalam keadaan lemah, Awi kemudiannya berusaha untuk melepaskan ikatan kain pada tangannya sebelum keluar rumah untuk meminta pertolongan daripada seorang jiran.

Dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 8.20 pagi semalam.

Mangsa yang tinggal seorang diri itu turut mengalami luka sepanjang kira-kira lima sentimeter pada bahagian kepala dipercayai kesan kelar senjata milik penjenayah terbabit, selain cedera pada bahagian mulut serta telinga kanan.

Dia mendapatkan rawatan di unit pesakit luar Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan laporan berkenaan dan pihaknya kini sedang giat memburu suspek.