Search This Blog

Thursday, October 11, 2012

Suami tak sedap hati

myMetro | Suami tak sedap hati:


CHUKAI: “Saya hampir pitam dan terpaksa dipapah beberapa rakan sebaik saja kain yang membalut tubuh isteri dan anak dibuka. Terlalu sukar untuk saya percaya apabila mereka pergi meninggalkan saya sekelip mata,” kata peniaga kuih, Narizan Othman.


Narizan, 49, kehilangan isteri, Noran Ali, 39, dan tiga anak serentak akibat kemalangan meragut enam nyawa di Kilometer 129.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Sekolah Kebangsaan Meraga Beris, dekat sini, awal pagi semalam.



Narizan berkata, petang kelmarin Noran memaklumkan mahu pergi ke Kuala Terengganu untuk bertemu anak sulung mereka, Nur Syamira, 21, manakala dia perlu pergi ke Kerteh untuk menyelesaikan satu urusan.




Menurutnya, ketika berada di Kerteh, dia mula berasa tidak sedap hati dan jantungnya secara tiba-tiba berdegup kencang selain berasa tidak selesa.



“Saya mengambil keputusan pulang ke rumah dan mendapati tiada orang. Ketika itu rumah sunyi sepi dan saya beranggapan isteri dan anak singgah di mana-mana sebelum pulang.



“Ketika sedang menunggu, perasaan tidak sedap hati masih belum hilang kerana gagal menghubungi mereka sebelum saya tiba-tiba terlelap di ruang tamu kerana keletihan pada jam 3 pagi.








“Bagaimanapun, saya kemudian terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi telefon. Rupa-rupanya sepupu saya memberitahu isteri bersama anak terbabit dalam kemalangan maut.



“Ketika itu, saya amat terkejut dan sukar untuk percaya apa yang didengar sebelum bergegas ke Rumah Mayat Hospital Kemaman (HK),” katanya ketika ditemui semalam.






Menurutnya, sebaik saja kain dibuka, dia tidak dapat menahan kesedihan sebelum hampir pengsan ketika melihat semua jenazah termasuk dua rakan karib arwah isterinya itu.



Katanya, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan arwah isterinya kecuali dia sempat mencium isteri dan anaknya ketika berada di rumah sebelum kejadian terbabit.



Narizan berkata, Wan Alpisar Wan Abdul Kadir, 43, yang turut terbunuh dalam kemalangan itu sememangnya bersahabat baik dengan Noran, malah mangsa yang berniaga ayam di Pasar Kemaman sudah seperti adik-beradik dengan arwah isterinya.



“Saya tidak menduga sama sekali persahabatan mereka berakhir dengan kematian,” katanya.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment