SHAH ALAM - Rumah milik seorang ahli perniagaan dipecah masuk penjenayah dipercayai warga Amerika Latin, dalam kejadian di Kota Kemuning di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, barang berharga milik mangsa berjumlah RM10,000, antaranya komputer riba dan kamera dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, penjenayah yang terdiri daripada empat lelaki itu menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni.
“Mereka akan menekan loceng rumah berkali-kali bagi memastikan rumah tersebut tidak berpenghuni.

“Selepas itu, mereka akan mengumpil pintu dan melarikan barang berharga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
Zahedi berkata, kejadian itu bagaimanapun disaksikan seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan rumah mangsa.
“Saksi memaklumkan penjenayah berkulit cerah menyerupai warga Amerika Latin,” katanya.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan penjenayah terlibat dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu katanya, beliau menasihati orang ramai supaya menitik beratkan soal keselamatan rumah seperti membuat kunci tambahan atau memasang kamera litar tertutup (CCTV).