Pesawah kerugian RM60,000
Zaleha (kiri) menunjukkan tempat penyimpanan input pertanian yang kosong.
TANJONG KARANG - Kira-kira RM60,000 kerugian terpaksa ditanggung 30 pesawah di kawasan ini apabila input pertanian seperti baja dan racun dicuri setiap kali tiba musim menanam padi.

Difahamkan, pesawah bimbang memandangkan insiden kecurian kerap berlaku pada siang hari setiap kali musim menanam padi bermula.

Pesawah mendakwa, pencuri licik mencuri input pertanian yang disimpan di luar dan dalam rumah ketika mereka leka menjalankan kerja mencalit atau menabur benih pada petak sawah pada siang hari.

Ketiadaan racun atau baja itu menyukarkan mereka untuk menghasilkan padi berkualiti.

Seorang pesawah yang tiga kali berdepan dengan kes kecurian itu dalam tempoh sebulan, Zaleha Agos, 45, berkata, dia kerugian hampir RM7,000 selepas baja dan racun termasuk subsidi kerajaan dilesapkan pencuri meskipun disimpan di dalam stor berkunci.

“Kejadian itu berlaku pada 15 November, 23 November dan 28 November tahun lalu dan walaupun langkah berjaga-jaga diambil termasuk mengunci pintu stor, pencuri licik memotong mangga dan melarikan hampir kesemua baja serta racun yang tersimpan rapi di dalam almari.

“Marah dengan insiden itu, saya terus membuat laporan polis dan siasatan masih berjalan. Saya yakin individu yang terlibat adalah orang kampung sendiri kerana mereka seolah-olah tahu stok input pertanian itu disimpan di dalam stor,” katanya yang tinggal di Blok B Sawah Sempadan.

Zaleha berkata, secara purata pada musim menanam padi pastinya setiap petani akan kehilangan baja atau racun padi, namun kebanyakan mereka enggan membuat laporan polis kerana beranggapan kerugian hanya sedikit.

“Sehingga kini, saya difahamkan lebih 30 pesawah berdepan masalah sama dan masing-masing dilaporkan kerugian RM2,000. Jika dihitung kesemua jumlah kerugian yang mereka hadapi adalah lebih kurang RM60,000. Jumlah itu cukup besar dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Penduduk di Blok A Sawah Sempadan, Jamsari Muhammad, 46, dia tidak terkecuali menjadi mangsa apabila baja yang disimpan di dalam almari rumahnya lesap ketika dia sekeluarga sibuk menguruskan dan membantu kerja gotong-royong rumah jiran di sebelah rumah.

“Penduduk mengambil inisiatif membuat rondaan pada waktu malam bersama rukun tetangga di kampung tetapi pencuri seolah-olah dapat menghidu dan menukar modus operandi hingga ada yang berani mencuri pada siang hari,” katanya.

Jamsari berharap mereka yang mengalami nasib sama dapat bertindak segera dengan membuat laporan polis dan memohon pihak berkuasa supaya dapat membantu sama ada menyediakan pondok polis di kampung ini atau menjalankan rondaan berkala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes kecurian baja dan racun oleh penduduk setempat di Balai Polis Tanjung Karang.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua mangsa supaya dapat membuat laporan polis dengan kadar segera bagi memudahkan siasatan dijalankan dan pihak polis tidak boleh melakukan apa-apa tindakan sekiranya laporan polis tidak dibuat.

“Buat masa ini, pihak polis giat mengenal pasti dan mengkaji langkah pencegahan sesuai untuk dilaksanakan bagi membantu petani serta pesawah yang menjadi mangsa kecurian harta benda,” katanya.