Search This Blog

Monday, October 15, 2012

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas - Pahang - Sinar Harian:

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas
Sekitar kawasan kedai emas milik Azmi yang dirompak empat lelaki bertopeng bersenjatakan pistol kira-kira jam 5.30 petang, semalam.
KUALA LIPIS - Empat lelaki bertopeng  bersenjatakan pistol  melarikan pelbagai jenis barang kemas  bernilai RM100,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di Merapoh, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian itu, kumpulan terbabit turut melepaskan dua das tembakan untuk memecahkan cermin kaca pameran barang kemas di kedai berkenaan sebelum seorang lagi menghentak cermin terbabit dengan menggunakan sebilah kapak.   
Menurutnya, keempat-empat suspek dipercayai ke kedai berkenaan empat jam sebelum kejadian itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan.   
“Empat suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki  sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan  tidak jauh dari premis itu.
“Hasil pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai emas berkenaan, polis mendapati empat penyamun bertopeng berkenaan melepaskan dua das tembakan pada rak cermin kaca sebelum menetak cermin itu dengan menggunakan sebilah kapak,” katanya di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, buat masa ini pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV di kedai itu.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.
Sementara itu pemilik kedai emas, Azmi Mohamed, 41, berkata ketika kejadian, dia dan isterinya, Manih Mamat, 36, bersama empat anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun berada di dalam premis berkenaan.
“Empat suspek  masuk secara tiba-tiba, salah seorang daripada suspek mengacukan  sepucuk pistol kepada saya..
“Suspek kemudiannya melepaskan dua  das tembakan pada cermin kaca.  

“Dalam tempoh kira-kira dua minit, mereka kemudiannya melarikan barangan kemas, kerugian dianggarkan RM100,00,” katanya yang berniaga emas sejak 11 tahun lepas.

No comments:

Post a Comment