Search This Blog

Sunday, October 28, 2012

Pencuri lari lintang-pukang selepas dikejar penduduk

Pencuri lari lintang-pukang selepas dikejar pendudukPolis ketika menjalankan pemeriksaan ke atas kereta milik suspek yang ditinggalkan.
SHAH ALAM - Tindakan seorang pencuri mahu melarikan barangan berharga dari sebuah rumah yang dipecah masuk di Lorong Sarkawi, Jalan Kebun dekat sini tidak kesampaian apabila dia dihambat penduduk yang berang dengan perbuatannya, kelmarin.

Suspek berusia lingkungan 30-an terpaksa lari meninggalkan barangan curi yang dikendongnya sejauh 200 meter sebelum lenyap di sebalik semak selepas dikejar beberapa penduduk kampung.

Menurut saksi, Mahathir Patali, 35, berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu dia bersama adiknya kebetulan sedang menunggang motosikal melalui jalan itu sebelum terlihat sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan dibahu jalan berhampiran kawasan semak berhampiran.

Kereta itu dilihat mencurigakan kerana terdapat timbunan pelepah kelapa di atas bumbung menyebabkan kedua beradik itu turun memeriksa di kawasan rumah berhampiran.

“Sebaik ke bahagian belakang tiga pintu rumah di situ, kami terserempak dengan seorang pemuda sedang sibuk memunggah barangan dan beg keluar dari rumah bila ternampak kami, dia campakkan barangan itu dan terus larikan diri menyebabkan kami terpaksa mengejarnya selepas mengesyaki dia memecah masuk rumah itu,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya meloloskan diri namun terpaksa meninggalkan keretanya yang diletakkan di kawasan itu.

“Kami dapat mengecam kereta yang digunakan sebab sebelum ini dia pernah dilihat menaiki kereta sama mencuri ayam penduduk kampung pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahathir berkata, barangan berharga seperti komputer riba dan kamera digital ditemui semula ditinggal di kawasan semak.

Difahamkan, ketika kejadian pemiliknya pulang ke kampung berhari raya begitu juga dengan dua penyewa lain yang tinggal sederet di situ.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati suspek masuk ke dalam rumah dengan memecah kunci pintu belakang.

Penghuninya dimaklumkan mengenai apa yang berlaku sebelum satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

No comments:

Post a Comment