Search This Blog

Thursday, October 11, 2012

Menyamar tetamu untuk mencuri

Menyamar tetamu untuk mencuri - Semasa - Sinar Harian:
MUAR – Tiga wanita menyamar sebagai tetamu majlis perkahwinan, sebelum menyelinap masuk ke bilik pengantin dan mencuri pelbagai barangan berharga.

Kumpulan wanita berusia 20-an itu, menggunakan modus operandi yang sama dalam dua kecurian pada 6 Oktober lalu ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kejadian pertama membabitkan seorang pengapit pengantin wanita berusia 26 tahun yang kerugian wang tunai RM7,000 apabila beg tangan yang diletakkan di bawah katil dalam bilik pengantin hilang.

Katanya, kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku di rumah rakannya di Jalan Datuk Haji Kosai dekat Bakri.  

Mangsa menyedari kejadian ketika mahu mengambil barang dalam beg tangannya tetapi beg tangannya didapati sudah tiada.

“Sebelum kejadian, mangsa dan beberapa saksi ada melihat tiga wanita tidak dikenali masuk ke dalam bilik pengantin.

“Pada mulanya mereka sangka wanita terbabit saudara tuan rumah,” katanya.

Katanya, mangsa tidak syak sebarang perkara mencurigakan, meskipun melihat salah seorang daripada suspek membawa beg besar ketika keluar dari bilik pengantin itu.

Beliau berkata, kejadian kedua berlaku kira-kira sejam kemudian membabitkan seorang jurusolek pengantin wanita di Jalan Pesta.

“Wanita itu meninggalkan beg tangannya dalam bilik pengantin dan sedar beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM250, dua telefon bimbit dan kunci kereta hilang ketika mengemas barang untuk pulang selepas selesai majlis perkahwinan itu,” katanya.

Beliau berkata, lebih mengejutkan apabila tuan rumah turut mengalami masalah yang sama ketika jurusolek terbabit memaklumkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan oleh individu yang sama berdasarkan modus operandi yang mereka gunakan dan usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengunci pintu bilik yang menyimpan barangan berharga sepanjang berlangsungnya  majlis perkahwinan,” katanya.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment