Search This Blog

Saturday, October 6, 2012

Maut selepas ‘Belalang’ kesayangan bertembung treler



06/10/2012 3:04am

KOTA TINGGI - Seorang guru tadika terbunuh apabila jip yang dipandunya berlanggar dengan sebuah treler di KM31.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, berhampiran Bandar Penawar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata, kenderaan yang dipandu Norazila Ahmad, 29, dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari.
"Jenazah mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di perkuburan Islam Felda Sungai Mas malam ini (tadi),” katanya.
Norazila yang juga seorang anggota Rela merancang bertunang dengan teman lelakinya dan menunaikan umrah selepas Hari Raya Aidiladha nanti.
Teman lelakinya itu, Zainuddin Manap, 30, berkata, segala persiapan majlis pertunangan sudah dibuat dan urusan membuat pasport antarabangsa untuk menunaikan umrah juga telah siap.
"Saya pernah menegur mangsa yang suka berseloroh bahawa dia akan pergi bersama ‘Belalang’ kesayangannya (nama timangan kenderaan jip mangsa), yang mana akhirnya menjadi kenyataan,” kata Zainuddin dengan nada sedih.
Zainuddin berkata, beliau ada menerima pesanan ringkas daripada mangsa pada pukul 7 pagi yang mengatakan dia mengantuk.
"Sudah suratan, jodoh kami tidak kesampaian dan saya terima dugaan ini dengan hati yang reda,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.
Beliau berkata, mangsa merupakan seorang yang aktif dan gemar dengan sukan lasak dan mereka sering mengikuti aktiviti lasak pacuan empat roda bersama.
Mangsa sedang dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Sungai Rengit untuk mengambil dokumen kerja di Bandar Penawar di sini semasa kemalangan terjadi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment