Search This Blog

Saturday, October 13, 2012

Maut ke tempat kerja

myMetro | Maut ke tempat kerja:

ALOR GAJAH: Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda berhampiran sebuah kuil di Pengkalan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, Abdul Halim Abdul Kadir, 16, yang baru dua hari bekerja di bengkel mencuci kereta di pekan ini dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabit kemalangan.

Abdul Halim yang parah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, tetapi disahkan meninggal dunia sejam kemudian.
Sumber berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha TZM dari Pengkalan ke pekan Alor Gajah dipercayai hilang kawalan ketika tiba di selekoh hingga memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia awal 30-an dari arah Jelatang. Akibat pertembungan itu, mangsa terjatuh atas jalan.

“Mangsa yang cedera parah di badan dihantar ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah,” katanya di sini, semalam. Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di badan dan anggota dalaman disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian ketika menerima rawatan.
Sementara itu, ibu mangsa, Salina Hasan, 45, berkata, pagi sebelum kejadian, anaknya sempat menikmati sarapan bersama sebelum ke tempat kerja.

“Kira-kira jam 8.30 pagi, arwah pergi ke tempat kerjanya, tetapi pulang semula jam 9 pagi semata-mata untuk bersarapan dan kelihatan berselera.
“Ketika bersarapan, arwah tidak banyak bercakap dan tergesa-gesa menjamah sarapan sambil saya memerhatikan perlakuannya,” katanya.

Salina yang turut ditemani suami, Abdul Kadir Latif, 50, berkata anaknya tergesa-gesa ke tempat kerja semula, namun sempat bersalam dan mencium tangannya.

“Beberapa minit kemudian rakan arwah datang memaklumkan dia kemalangan. Saya bersama seorang anak lelaki terus ke Hospital Alor Gajah untuk melihat keadaannya yang nazak,” katanya.

Abang mangsa, Abdul Hafiz, 21, berkata, pada malam sebelum kejadian, adiknya menyatakan berhasrat meminjam wang dan dia bersetuju meminjamkannya pagi sebelum kejadian.

“Pagi tadi (semalam) selepas mengambil sedikit wang simpanan, saya terus pulang ke rumah untuk memberikannya wang tetapi tidak berkesempatan.” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment