Search This Blog

Sunday, October 14, 2012

Kulit keluar air berbisa, darah

Kulit keluar air berbisa, darah - Utara - Sinar Harian:

Kulit keluar air berbisa, darah
Keadaan kulit Azizah yang terlalu nipis dan mudah gugur.
Kulit keluar air berbisa, darah
Che Rus dan Zulkifly (kanan) kini menguruskan Azizah yang terlantar.
SUNGAI PETANI - Warga emas, Azizah Saidin, 59, yang mengalami kulit 'terbakar' dipercayai selepas minum sejenis jus baru sahaja dibenarkan keluar dari wad selepas mendapatkan rawatan.

Menurutnya, keadaan kulitnya kini dalam proses mengelupas sehingga mengeluarkan air berbisa dan darah yang menimbulkan rasa kurang selesa kerana sering kegatalan.

“Keadaan kulit semakin mengelupas sebelum keluar darah dan gatal-gatal menyebabkan makcik kurang selera makan dan tidak boleh tidur sepanjang hari,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut anak sulungnya, Zulkifly Che Rus, 24, ibunya kini sukar untuk melelapkan mata dan ahli keluarga terpaksa bergilir menemaninya sepanjang malam.

“Keadaan emak yang lumpuh menyukarkan dia untuk menguruskan diri dan setiap ahli keluarga terpaksa membantu termasuk menggaru kulit yang gatal.

“Kulit yang mengelupas pula sangat nipis sehingga berisiko gugur setiap kali disentuh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertuturan ibunya beransur baik apabila kini sudah boleh mula bercakap berbanding ketika mula jatuh sakit.

Azizah kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan difahamkan diberi tarikh merujuk ke HSAH setiap lima bulan sekali.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau akan menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengetahui tahap kesihatan Azizah di samping mengetahui lebih lanjut berhubung kandungan jus yang diminum.

“Saya akan cuba dapatkan maklumat mengenai jus yang dikatakan diminum pesakit sehingga menyebabkan kulitnya terbakar, mengelupas dan mengeluarkan darah berbisa,” katanya.

Sinar Harian 23 April lalu menyiarkan kisah Azizah yang mengamalkan sejenis minuman berjus selepas yakin produk berkenaan mampu menyembuhkan penyakit lumpuh yang dihadapinya.

Bagaimanapun, setelah minum dua botol minuman tersebut, badannya mengeluarkan bintik-bintik seperti demam campak, sebelum kulit  di seluruh badan menjadi kehitaman, luka dan berdarah.

No comments:

Post a Comment