Search This Blog

Saturday, October 6, 2012

Jaga, penyelia didakwa



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
         
TAIPING: Dua lelaki termasuk seorang pekerja syarikat keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan merompak wang tunai berjumlah RM1.23 juta dan menembak mati pemandu van yang membawa wang berkenaan, bulan lalu.

Pekerja syarikat keselamatan berkenaan, Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, dari Sungai Siput, Perak dan penyelia syarikat, Cheah Cheong Tatt, 23, dari Kulim, Kedah didakwa dengan niat bersama merompak wang tunai RM1,235,715 milik Syarikat Safeguards G4S Sdn Bhd serta melepaskan tembakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian Hasnul Hafis Saad, 28.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di depan pasar raya Giant, Jalan Tekah, Aulong, di sini, antara jam 2.20 hingga 3.25 petang, 18 September lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 3 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Tertuduh mengaku faham sebaik tuduhan dibacakan terhadap mereka, namun Majistret Solehah Noratikah Ismail tidak mengambil sebarang pengakuan dan menetapkan kes itu disebut semula pada 6 Disember depan bagi memberi masa beberapa dokumen berkaitan kes berkenaan termasuk laporan bedah siasat diperoleh.


Mahkamah juga tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim manakala Cheah diwakili C P Ang dan Mohd Hafizuddin tidak diwakili peguam.


Kes berkenaan mendapat liputan luas media apabila mangsa, Hasnul Hafis ditemui mati dipercayai akibat ditembak lebih dua das oleh rakan sekerjanya sendiri dalam rompakan yang berlaku berhampiran Jalan Tekah, Asam Kumbang, di sini.

Perompak kemudian melarikan enam guni wang berjumlah kira-kira RM1.2 juta dari dalam van keselamatan dinaiki mangsa.


Tiga hari selepas kejadian, polis menahan enam individu berusia antara 20 hingga 40-an dalam beberapa siri tangkapan di Kulim, Kedah serta Georgetown, Pulau Pinang dan menemui semula wang tunai RM517,100 dipercayai sebahagian daripada wang yang dilapor dilarikan dari van keselamatan berkenaan.


Pada 25 September pula, pasukan khas Polis Perak dengan kerjasama Polis Perlis berjaya menahan Mohd Hafizuddin yang dikatakan suspek utama kes itu di Kampung Syed Omar, Kangar, Perlis, selepas lapan hari diburu.


Bagaimanapun, polis hanya menemui wang tunai RM7,250 dan 550 bath Thailand bersamanya manakala wang setengah juta ringgit yang dirompak masih dilaporkan hilang.

No comments:

Post a Comment