Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

Jabatan Agama Pulau Pinang tahan 12 lelaki Islam beli nombor ekor



BUTTERWORTH - Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang menahan 12 lelaki Islam sedang membeli nombor ekor di tiga premis sekitar negeri ini, dalam operasi petang semalam.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaannya, Khairul Azman Azizan berkata, mereka yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi bermula pukul 4.30 hingga 6.30 petang.

"Daripada 12 orang yang ditahan, lima adalah warga asing beragama Islam dari Indonesia dan Pakistan manakala selebihnya orang tempatan,"  katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, jabatannya kini mempergiatkan operasi sedemikian dan kali ini bertumpu di premis sepanjang Jalan Seri Bahari yang dikenal pasti menjadi lokasi popular kaki judi tegar segelintir masyarakat Islam di negeri ini.

"Ketika serbuan, mereka tidak sempat melarikan diri, malah ada  yang tidak sedar ada operasi dijalankan kerana sibuk mengejar masa berikutan kedai sudah hendak tutup," katanya.

Khairul Azman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Islam di Butterworth untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 kerana berjudi.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment