Search This Blog

Wednesday, October 31, 2012

Inspektor kimpalan dipenjara 20 tahun sebabkan kematian depan wad kecemasan

JOHOR BAHARU - Seorang inspektor kimpalan dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki di depan wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan S. Deepanraj, 25, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Deepanraj didakwa menyebabkan kematian A.Kavimathan, 25, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 22 Ogos 2010.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Abdul Halim memberi peluang kepada ayah mangsa, K. Ananthasegaran, 50, membuat penyataan kesan terhadap mangsa (VIS) dalam kes itu.

"Yang arif, saya mahu tertuduh dihukum gantung," kata Ananthasegaran sambil menambah Kavimathan yang menyara keluarga mereka ketika mendiang masih hidup, dan kini tanggungjawab itu dipikul isterinya memandangkan beliau tidak boleh bekerja kerana menghidap sakit jantung.

Terdahulu, peguam G.K.Sritharan memohon mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh tidak memiliki rekod kesalahan lampau namun Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mahukan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan Deepanraj adalah serius dan menyebabkan kehilangan satu nyawa. - Bernama

No comments:

Post a Comment