Search This Blog

Thursday, October 4, 2012

‘Ingat dia bergurau kata rumah terbakar’

KAPAR: “Saya ingat dia hanya bergurau mengatakan rumah terbakar,” kata Mohd Khairi Baharudin, 13, yang terselamat dari maut selepas tindakan pantas sepupunya yang mengejutkannya dari tidur berjaya menyelamatkannya dalam kejadian kebakaran di Jalan Goh Hock Huat, Sungai Pinang, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, Mohd Khairi sedang tidur dan tidak menyedari rumah yang didiami bersama ibu dan kakaknya itu terbakar. Ketika kejadian remaja itu tinggal berseorangan selepas ibu keluar bekerja dan kakaknya ke sekolah. Mohd Khairi berkata, dia hanya menyedari sepupunya, Abdul Khalid Hanaqi Kamaludin, 13, tidak bergurau apabila melihat rumah dipenuhi asap dan beberapa bahagian rumah sudah terbakar.

Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan sijil kelahiran dan beberapa dokumen penting seperti sijil manakala barangan peribadi serta peralatan rumah tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan cepat memandangkan rumahnya diperbuat daripada kayu.

“Saya berterima kasih dan terhutang budi dengan Abdul Khalid yang sanggup meredah api demi menyelamatkan saya dan tak dapat saya bayangkan sekiranya saya masih lagi tidur dan tidak sedar kebakaran yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan empat rumah dan empat kedai yang diperbuat daripada kayu musnah.

Dalam pada itu, Abdul Khalid yang tinggal bersebelahan rumah Mohd Khairi berkata, ketika kejadian dia sudah berada di luar rumah selepas dikejutkan jiran memintanya lari menyelamatkan diri. “Tiba-tiba saya teringat Mohd Khairi yang sedang tidur di rumah bersebelahan. Saya nekad masuk ke rumahnya dan bersyukur kerana berjaya menyelamatkannya.


“Saya tak sempat nak selamatkan barangan yang ada di dalam rumah melainkan beberapa barangan seperti set permainan video dan IPad yang berada di dalam bilik saya.

“Semuanya musnah dan sekarang saya sekeluarga terpaksa tinggal sementara waktu di Dewan Orang Ramai Sungai Pinang sebelum mendapat rumah sewa sementara yang akan diuruskan Ketua Kampung Sungai Pinang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 pagi dan tiba di tempat kejadian seminit kemudian.

No comments:

Post a Comment