Search This Blog

Wednesday, October 17, 2012

Dua beradik hilang keluar beli barang dapur




         
SUNGAI PETANI: Seorang wanita mualaf Thailand merayu bantuan orang ramai untuk mengesan dua anaknya berusia 20 dan dua tahun yang menghilangkan diri sejak lebih sebulan lalu.

Supranee Abdullah, 41, menyuruh anak perempuannya, Husna Abdullah, 20, ke kedai berhampiran untuk membeli barang dapur, bersama adiknya, Salehuddin Chawakeaw, 2, yang mahu mengikutinya.


Supranee dari Taman Seri Gedung, dekat sini, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada 7 September lalu, dia memberi RM50 untuk membeli barangan dapur, tetapi kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah selepas lebih sejam.

Menurutnya, dia meminta suaminya, Johari Mohamad, 52, mencari mereka di kedai terbabit, namun dimaklumkan mereka tidak datang ke situ.


“Saya dan suami berusaha mencari mereka sekitar kawasan taman perumahan dengan bantuan penduduk, namun gagal sebelum suami membuat laporan kehilangan anak di Balai Polis Sungai Petani,” katanya.


“Puas kami mencari mereka di merata tempat termasuk Kedah, Perlis dan kawasan sempadan, namun masih gagal dikesan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan beberapa petunjuk, dia mengesyaki kedua-dua anaknya dilarikan teman lelaki Husna berdasarkan panggilan terakhir yang diterima telefon bimbit anak perempuannya.


Katanya, dia juga dimaklumkan Husna ada menghubungi rakannya menggunakan telefon bimbit teman lelakinya pada 1 Oktober lalu untuk meminta bantuan kerana tiada wang untuk pulang ke Bangkok, Thailand.

“Malah, ketika panggilan itu, rakannya terdengar suara Salehuddin menangis kerana kelaparan dan Husna memberitahu tiada wang untuk membeli susu menyebabkan saya rasa amat sebak mengenangkan nasib mereka.


“Justeru, saya merayu kepada lelaki terbabit agar memulangkan anak saya dalam keadaan baik kerana bimbang disebabkan Husna baru memeluk agama Islam pada 2011 lalu dan masih mendalami ilmu agama Islam di sebuah sekolah agama di sini,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Johari di talian 019-5525499.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Muda, Superitendan Ong Aik Chang yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kehilangan dua beradik terbabit.

No comments:

Post a Comment