Search This Blog

Sunday, October 14, 2012

Berita Harian | Dua remaja maut motosikal bergesel ketika konvoi

Berita Harian | Dua remaja maut motosikal bergesel ketika konvoi:

Alor Setar: Dua rakan karib maut, termasuk seorang daripadanya digilis kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Faredzuan Sabri dan rakannya, Mohamad Firdaus Mohamad Zainudin, masing-masing berusia 20 tahun, disahkan mati di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang bergesel antara satu sama lain.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa yang menunggang Yamaha RXZ dikatakan dalam perjalanan secara berkonvoi bersama kira-kira 10 motosikal lain menghala Sungai Petani, sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 44.5 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, kira-kira jam 1.45 pagi.
Berdasarkan maklumat, motosikal ditunggang mangsa dikatakan bergesel sebelum masing-masing terjatuh dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.

Sumber berkata Faredzuan yang baru menamatkan kursus Sijil Lukisan Senibina di Institut Kemahiran MARA (IKM) Alor Setar Jun lalu, dikatakan mengalami kecederaan paling teruk selepas digilis kereta lain sebaik terjatuh di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pemandu kereta yang memaklumkan melanggar mangsa yang terbaring di jalan raya yang gelap di lokasi terbabit.
“Buat masa sekarang, punca sebenar kejadian masih disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, abang Faredzuan, Mohd Fahmi Sabri, 34, berkata kali terakhir dia menemui adik bongsunya itu kira-kira jam 11.30 malam kelmarin sebelum mangsa keluar bersama rakannya kira-kira sejam kemudian.

"Ketika itu, dia sempat bergurau dan berbual mesra dengan kakaknya, Noor Fazlyana, 27, seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang reaksi pelik. Apa pun, kami ahli keluarga reda dengan kejadian itu," katanya.

No comments:

Post a Comment