Search This Blog

Saturday, October 6, 2012

Bayi hampir reput dalam kolam

Bayi hampir reput dalam kolam
Anggota polis forensik melakukan pemeriksaan
ke atas mayat bayi ditemui di kolam
tadahan Puncak Jalil, semalam.
SERI KEMBANGAN – Penduduk Taman Puncak Jalil di sini gempar dengan penemuan mayat bayi hampir reput terapung di sebuah kolam tadahan berdekatan perumahan itu, petang semalam.
Difahamkan, bayi lelaki itu masih bertali pusat ditemui orang awam yang kebetulan berjoging berdekatan kawasan kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, bayi itu ditemui dalam balutan sehelai baju T berwarna merah kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, orang awam yang menemui bayi itu terus menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Menurutnya, bayi berkenaan dipercayai sudah berada dalam takungan air itu antara empat hingga ke lima hari berdasarkan keadaannya yang hampir reput dan sudah berulat.
Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan untuk memastikan sama ada bayi berkenaan dicampak ke kolam tadahan itu ketika masih hidup atau sebaliknya.
“Bayi cukup sifat dipercayai dibuang selepas dilahirkan itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, Abd Razak memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi IPD Serdang di talian 03-80620485 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment