Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

‘Arwah sempat pesan jaga anak’


       
GURUN: “Saya sudah melarang arwah pergi menyelam, tetapi dia tetap berkeras kerana memang menjadi hobinya sejak saya melahirkan anak pertama, namun sempat berpesan supaya menjaga anak kami,” kata Normarlina Md Noor, 30, isteri kepada Rosli Mohamad Isa, 32, yang lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perak, kira-kira 60 batu nautika dari Pulau Langkawi, kelmarin.

Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai juruteknik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) adalah suami yang baik dan bertanggungjawab, malah menyayangi kedua-dua anaknya, Adham Akil, 5, dan Putri Damia, 3.


Katanya, arwah bersama bersama sembilan lagi rakan bertolak ke lokasi menyelam, Ahad lalu sebelum berkumpul dan menaiki bot dari Kuala Kedah.

“Selepas menghantar anak sulung ke taska berhampiran rumah, saya menghantar arwah ke Sungai Petani sebelum arwah bersama seorang lagi rakan menaiki kereta menuju Kuala Kedah.


“Selepas itu, dia ada menghubungi saya sekali ketika berada di Kuala Kedah dan memaklumkan sistem komunikasi di tempat ditujui tidak begitu baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Linton, di sini, semalam.


Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 4 petang kelmarin daripada seorang rakan arwah memberitahu kejadian itu.

“Suami sempat berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik sepanjang ketiadaannya, namun tidak menyangka ia pesanan terakhir arwah.


“Memang aktiviti menyelam menjadi hobinya selepas saya melahirkan anak pertama, namun kebelakangan ini dia jarang melakukan aktiviti itu dan jika keluar memancing akan pulang pada hari sama.

“Pada mulanya, dia tidak mahu sertai aktiviti itu, tetapi akhirnya tetap pergi disebabkan ada kekosongan selepas seorang rakan menarik diri,” katanya.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki lemas manakala rakannya, Haris Abdullah, 44, masih kritikal ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Perak, berhampiran Pulau Langkawi.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa bersama sembilan lagi rakan dikatakan pergi memancing di perairan berkenaan sejak Ahad lalu. Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas selepas alat pernafasannya kehabisan oksigen dan tidak timbul ke permukaan dalam jangka masa lama sebelum ditemui pada jam 11.45 pagi.


Isteri Haris dikenali sebagai Shafizah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih dengan kejadian menimpa suaminya.


Haris yang berasal dari Sungai Petani adalah peniaga dan sering melakukan aktiviti menyelam bersama rakan-rakannya.


Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah, berkata Haris yang masih kritikal dipindahkan dari Hospital Langkawi (HL) ke Hospital Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak untuk rawatan lanjut.


“Mangsa dipindahkan menaiki helikopter Agusta Westland 135 kerana keadaan mangsa dilaporkan kritikal.


“Difahamkan, mangsa memerlukan rawatan penyurup mampatan (hyper brick) yang memerlukan berada dalam kebuk mampatan (chamber) sekurang-kurangnya empat jam 45 minit bergantung kepada keadaan pesakit berikutan mengalami pemerasan paru-paru akibat timbul ke permukaan air terlalu cepat,” katanya.


Jenazah Rosli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Bongkok, di sini, kira-kira jam 5 petang semalam.

No comments:

Post a Comment