Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

Aedes: Catat 5 kematian

 Datuk Dr Mah Hang SoonHang Soon menunjukkan Graf Statistik kadar kenaikan mendadak kes denggi untuk 2012 berbanding 2011
IPOH - Denggi di Perak mencatatkan kenaikan kes dengan 1,403 dilaporkan berlaku sejak Januari hingga Oktober tahun ini membabitkan lima kematian berbanding dua, tahun lalu.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, peningkatan sebanyak tiga kematian itu cukup membimbangkan iaitu 1,023 kes yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu sekaligus mencatat peningkatan sebanyak 380 kes denggi.

“Kita cukup bimbang dengan keadaan ini, sehingga kini,  terdapat empat kawasan wabak dikenal pasti masih aktif iaitu di daerah Kinta sekitar Taman Meru 2B, RPT BT 5 dan Taman Tasek di Daerah Kinta.
“Kes terbaru membabitkan kematian adalah seorang remaja lelaki berusia sekitar 20-an di Slim River.” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata,  melihat kepada peningkatan kes seumpama itu, pihaknya tidak lagi boleh berkompromi dengan individu yang tidak mematuhi peraturan  yang ditetapkan.
Menurutnya, denda sebanyak RM500 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati masih mempunyai tempat pembiakan Aedes berhampiran kediaman agar kebersihan persekitaran terus terpelihara.
“Kita menyarankan agar setiap lapisan masyarakat memainkan peranan penting bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes ini termasuk membuat pemeriksaan 10 minit setiap hari bagi menghapuskan kawasan berpotensi untuk Aedes membiak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hang Soon berkata, Jabatan Kesihatan serius dan sentiasa memantau kejadian kes demam denggi yang berlaku di setiap daerah termasuk lokasi jajahan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat ini menurutnya, 100 pasukan Combi sudah ditubuhkan di seluruh Perak yang dianggotai penduduk setempat dengan melaksanakan aktiviti pencegahan di kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, setakat ini hanya 41 Combi yang masih aktif dan selebihnya perlu diaktifkan semula,” katanya.

No comments:

Post a Comment