Search This Blog

Saturday, October 20, 2012

36 PATI ditahan dalam Operasi 6P



ABDUL Basek Abu Bakar memeriksa sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditangkap dalam Operasi 6P di sekitar Felda Aring, Gua Musang, kelmarin.
KOTA BHARU 18 Okt. - Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran (6P) yang dijalankan di sekitar Felda Aring, Gua Musang awal pagi semalam.
Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, Abdul Basek Abu Bakar berkata, operasi tersebut disertai sepasukan 33 pegawai dan anggota diketuai Pengarah Imigresen negeri, Mahasan Mustapa selama enam jam bermula pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, serbuan dilakukan di dua kawasan iaitu tapak pembinaan sebuah jambatan dan sembilan buah rumah di Felda Aring 6 di mana seramai 161 pekerja asing telah diperiksa.
"Daripada jumlah tersebut, 27 daripada mereka dikesan melakukan kesalahan memasuki negara ini tanpa permit dan pas manakala sembilan lagi tinggal lebih masa.
"Kesemua mereka adalah lelaki yang berusia 14 hingga 44 tahun dan bekerja, 14 daripada mereka berasal dari Bangladesh, Indonesia (8), Myanmar (7) dan Thailand (4)," katanya ketika ditemui di pejabat Imigresen Kelantan semalam.
Tambahnya, ketika serbuan, kebanyakan PATI sedang tidur namun sebaik sahaja menyedari operasi dijalankan sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi.
Bagaimanapun, kata beliau, kecekapan anggota berjaya menahan kesemua mereka tanpa insiden yang tidak diingini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Basek berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya menahan tiga PATI berusia lingkungan 20-an di mana dua daripadanya berasal dari Pakistan dan seorang lagi warga Myanmar kerana memasuki negara ini secara haram.
Katanya, tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggotanya kira-kira pukul 10 malam kelmarin di Bukit Jawa, Pasir Puteh selepas menahan sebuah bas yang dinaiki mereka dipercayai menuju ke Melaka.
"Kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(3) dan 15(4) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah sementara siasatan lanjut dijalankan," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121019/wt_03/36-PATI-ditahan-dalam-Operasi-6P#ixzz29uM75pgP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment