Search This Blog

Monday, October 22, 2012

3,352kg minyak masak bersubsidi dirampas



Antara hasil rampasan minyak masak bersubsidi oleh Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK di sebuah gudang di Taman Perwira Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN
NIBONG TEBAL 20 Okt. - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang merampas sebanyak 3,352 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM8,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Perwira di Simpang Ampat di sini hari ini.
Serbuan pada pukul 8.30 pagi yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa, K. Muniandy bersama-sama enam orang anggota itu dilakukan hasil maklumat orang awam.
Sindiket itu dipercayai membeli minyak masak bersubsidi dalam paket seberat satu kilogram dan botol lima kilogram di pasaran sebelum dipindahkan ke dalam tong untuk dijual kepada industri dengan harga tinggi.
Ketua Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan PPDNKK negeri, Abdul Rosik Yaakub berkata, serbuan dilakukan setelah pihaknya menjalankan risikan di gudang yang beroperasi di belakang sebuah bengkel membaiki kenderaan sejak dua minggu lalu.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, gudang itu kosong dan pihaknya terpaksa memecahkan pintu untuk memasuki gudang tersebut yang berkunci.
"Kita menemui sebahagian tong berisi minyak dan minyak masak dalam paket satu kilogram yang masih disimpan di situ sebelum ia dipindahkan ke dalam tong untuk dipasarkan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Rosik berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dan mengaut keuntungan kerana minyak masak yang dijual kepada industri boleh mencecah harga lebih RM3 bagi sekilogram.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barangan tanpa lesen dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121021/wu_01/3352kg-minyak-masak-bersubsidi-dirampas#ixzz2A2ZG7orx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment