Warga emas nyaris maut terperangkap dalam asap tebal
Anggota bomba dan penyelamat bersama bomba sukarela sedang memadamkan sisa kebakaran.
BENTONG - Tidur sepasang suami isteri terganggu apabila rumah kosong di hadapan rumah mereka terbakar di Kampung Sungai Dua, dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 11.23 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Chan, 77, dan isterinya Leong, 73, sedang lena tidur sebelum dikejutkan dengan kepulan asap tebal dan bahang api.

Chan berkata, dia segera bangun melihat apa yang berlaku dan mendapati rumah kosong dua tingkat di hadapan rumahnya sedang marak terbakar.

“Isteri terus menelefon anak yang berada di Bentong memaklumkan kejadian itu dan dalam masa sama cuba keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, namun gagal kerana asap terlalu tebal.

“Jiran datang membantu kami berdua keluar dari rumah menggunakan pintu belakang kerana jarak rumah kosong yang terbakar dengan rumah kami begitu hampir,” katanya kepada Sinar Harian.

Chan berkata, jiran juga bertindak menghubungi bomba memaklumkan perkara itu dan akhirnya kebakaran berjaya dikawal.

Katanya, rumah terbabit pernah disewa pekerja Indonesia, namun sejak dua bulan lalu ia tidak berpenghuni.

“Kami bernasib baik kerana diselamatkan jiran, jika tidak mungkin kami akan lemas di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Mohd Fahmi Abdul Rahim berkata, seramai sembilan anggota bomba dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira sembilan minit untuk mengawal kebakaran dengan bantuan 19 anggota pasukan bomba sukarela Kampung Perting.

“Rumah kosong dua tingkat ini diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat, namun dapat dikawal dari merebak ke rumah berhampiran,” katanya.