Search This Blog

Saturday, September 29, 2012

Tiga jam terapung dalam laut

Tiga jam terapung dalam laut
Khairul dan Hisham turun ke laut melalui Pengkalan Kampung Penerok.
PENEROK (PONTIAN) - Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang dialami seorang lelaki yang terpaksa bertarung nyawa terapung selama tiga jam selepas bot dinaiki terbalik dipukul ombak ketika menangkap ikan di Pantai Rambah, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku ketika Khairul Kassim, 26, bersama rakannya Hisham Johari, 45, dari Kampung Penerok keluar ke laut menangkap ikan.

Menurut Khairul yang berasal dari Kampung Sungai Buntu, dia dan Hisham turun ke laut melalui Pengkalan Nelayan Penerok, pada jam 1 tengah hari, kelmarin.

“Selepas beberapa jam di tengah laut, tiba-tiba angin menerpa kami, yang ketika itu sedang menaikkan hasil tangkapan dari jala.
Tiga jam terapung dalam laut
Pantai Rambah tempat Khairul dan Hisham pergi menangkap ikan.
“Saya dan Hisham terus terduduk dan kemudian ombak kuat terus memukul bot menyebabkan kami terhumban ke dalam laut,” katanya.

Katanya, ombak yang semakin kuat menyebabkan mereka tidak sempat berpaut pada bot untuk menyelamatkan diri.

“Saya cuba mengapung diri untuk bertahan dan menarik pelampung untuk diberikan kepada Hisham.

“Namun Hisham tidak sempat berpaut pada pelampung itu kerana ombak begitu kuat,” katanya dengan nada sayu.

Khairul berkata, dia tidak dapat melihat Hisham lagi kerana arus laut telah membawanya jauh dari rakannya itu.

“Saya segera menanggalkan baju dan seluar untuk memudahkan pergerakan badan terapung di laut.

“Kepala didongakkan ke atas, bagi mengelakkan air laut masuk ke dalam hidung dan seterusnya membolehkan saya bernafas.

“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sukarnya saya mengapung diri selama tiga jam tanpa seurat benang pun di badan,” katanya.

Berdoa ALLAH panjangkan umur

Khairul yang ditemui di rumahnya di Sungai Buntu, semalam berkata, sepanjang kira-kira tiga jam terapung di laut, dia hanya mampu memanjatkan doa kepada ALLAH SWT agar memanjangkan umurnya.

Selepas bersabung nyawa di tengah laut, Khairul terselamat selepas dia tersangkut di akar pokok bakau kira-kira jam 11 tengah malam, kelmarin.

“Syukur, pokok bakau menjadi penyelamat untuk saya meneruskan hidup kerana biasanya kawasan berhampiran pokok bakau sudah dekat dengan kawasan kampung di sini.

“Meskipun badan lemah dan tanpa berpakaian, saya terus berjalan kira-kira tiga kilometer untuk meminta bantuan penduduk yang tinggal berhampiran iaitu di Rambah,” katanya.

Khairul kemudiannya dibawa penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Penerok untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya tidak mungkin dapat lupakan tragedi ini, lebih-lebih lagi, kawan baik saya Hisham masih belum lagi ditemui,” katanya dengan sebak.

Bekal ikan kembung goreng

Sementara itu, ibu Hisham, Saodah Abdullah, 69, berkata, dia sempat membungkuskan bekal makanan ikan kembung goreng kepada anaknya itu sebelum dia turun ke laut.

Menurutnya, bekalan yang dibawa itu cukup digemari Hisham, dan akan dimakan sebagai santapan malam ketika dia berada di tengah laut untuk mencari rezeki.

“Hisham yang tidak pulang ke rumah, malam kelmarin selepas turun ke laut pada sebelah tengah hari menggusarkan saya,” katanya.

Saodah berkata, lebih membimbangkannya, ribut kuat yang berlaku pada sebelah petang kelmarin, kira-kira jam 8 malam membuatkan dia tidak senang duduk.

“Saya tidak boleh lena pada malam itu, memikirkan Hisham. Seolah-olah seperti ada sesuatu yang hendak berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penerok, di sini, semalam.

Katanya, kira-kira jam 12 tengah malam, dia diberitahu salah seorang penduduk mengenai rakan Hisham, Khairul yang ditemui penduduk Kampung Rambah.

“Ketika itu, saya mula terbayangkan Hisham dan segera ke Pengkalan Penerok dengan ditemani anak saya Fatimah untuk mengetahui perkara yang sebenar,” katanya.

Bagaimanapun Saodah berkata, dia reda dengan ujian yang menimpa anaknya, dan berharap Hisham dapat ditemui semula.

Sementara itu bagi Fatimah, dia tidak menyangka kejadian seumpama ini menimpa abangnya itu.

Katanya, abangnya itu pernah hilang ketika berada di laut sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada lima bulan dan dua tahun lalu.

“Kira-kira lima bulan lalu abang pernah hilang kira-kira lima jam ketika berada di laut, namun dia berjaya ditemui selamat semula selepas itu, ” katanya.

Operasi disambung hari ini

Ketua Balai Bomba Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba, Zulbahry Sulong ketika ditemui berkata, pasukan bomba menerima panggilan kira-kira jam 9.30 pagi.

“Seramai 10 anggota termasuk dua dari Balai Bomba Pontian, Jalan Alsagoff berserta satu bot penyelamat menjalankan operasi mencari di persisiran kawasan Pantai Rambah dan Kukup Laut,” katanya.

Katanya, operasi mencari bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung terpaksa dihentikan kerana keadaan cuaca gelap dan akan disambung semula pada keesokan hari (hari ini).

No comments:

Post a Comment