KERIAN - Seorang peniaga terkejut apabila mendapati sebahagian tanah premis perniagaan miliknya di pekan baru, di sini diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Malah pihak tersebut turut membina pagar di atas tanah berkenaan tanpa kebenarannya dan kelulusan Majlis Daerah Kerian (MDK).

Peniaga, Khor Choon Kooi, 77, berkata, pada 1986, MDK mengeluarkan satu permit kelulusan berniaga kepadanya selain membenarkan dia membina premis bangunan kedai dua pintu.

Menurutnya, pelan pembangunan asal yang diluluskan MDK masih disimpannya sehingga kini.

“Pada mulanya saya berniaga makanan bersama anak dan menyewa premis satu lagi kepada seorang peniaga Melayu sehinggalah 10 tahun kemudian apabila kami memutuskan menyewa premis kepada orang lain.

"Sejak itu, penyewa berkenaan berniaga di premis kami sehingga tiga bulan lalu apabila mereka memutuskan untuk berhenti menyewa, manakala premis kedai disewa peniaga Melayu turut dipulangkan semula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Choon Koi, apabila dia mengambil alih semula kedua-dua premis berkenaan, barulah Choon Koi mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab mencerobohi sebahagian tanah kedai miliknya.

Jelasnya, tanah miliknya seluas 100 meter persegi diceroboh pihak tersebut malah mereka turut membina pagar di kawasan itu.

"Berikutan kejadian itu, saya membuat dua laporan polis di Balai Polis Tanjung Piandang bertarikh 15 dan 26 Ogos lalu selain mengemukakan aduan kepada MDK baru-baru ini.

"Tindakan penceroboh itu seolah-olah mencabuli hak saya sebagai pemilik premis selain melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan," katanya.

Oleh itu, dia meminta jasa baik MDK untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan mengambil tindakan terhadap penceroboh tersebut.

Choon Kooi berkata, beberapa pegawai MDK telah hadir meninjau keadaan tanah premisnya yang diceroboh untuk mengesahkan aduan itu.

“Saya juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan kerana menceroboh tanah saya tanpa kebenaran,” katanya.