Polis tahan 10 lelaki bantu siasatan kes dua bouncer ditembak
2 'bouncer' mati ditembak di hadapan kelab hiburan di Jalan Doraisamy baru-baru ini
KUALA LUMPUR - Seorang daripada empat lelaki yang diburu berhubung kejadian tembak mati dua bouncer di hadapan kelab hiburan di Jalan Doraisamy 26 Ogos lalu, ditahan kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek berusia 41 tahun sebelum itu menyerah diri selepas gambarnya diedar dan dipaparkan menerusi Facebook rasmi Polis Kuala Lumpur (KL) serta media, semalam.

"Kita sedang menyiasat pembabitan suspek dalam kejadian itu dan tiga lagi rakannya masih diburu," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis KL di Pasar Seni, semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, dua bouncer berumur awal 20-an dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki daripada memasuki kelab hiburan berkenaan kerana sudah tamat waktu operasi.

Akibat rasa tidak berpuas hati, pergaduhan kemudiannya tercetus sebelum seorang daripada lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai kepala mangsa pertama dan bahagian rusuk kiri mangsa kedua.