Search This Blog

Sunday, September 9, 2012

Penyelia kualiti bijih mati ditikam


RANTAU PANJANG 8 Sept. - Tindakan seorang penyelia kualiti bijih menegur rakan serumahnya supaya berhenti menagih dadah dan tidak mengganggu keluarganya berakhir dengan tragedi apabila dia mati ditikam lelaki berkenaan pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi di hadapan sebuah kantin berhampiran tapak lombong bijih besi di Kampung Rahmat Lubok Stol di sini.
Mangsa, Mohd. Yusoff Zakaria, 41, disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang akibat kecederaan parah di dada.
Suspek yang berusia 37 tahun berasal dari Benut, Johor, dan positif mengambil dadah jenis ‘methamphetamine’ serta memiliki rekod jenayah lampau menyerah diri di Balai Polis Lubok Stol kira-kira satu setengah jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memberitahu, kejadian berlaku apabila suspek meluru masuk ke kantin berkenaan dan menyerang mangsa dengan sebilah pisau dianggarkan sepanjang 15 sentimeter yang dipercayai dibawanya dari rumah.
Menurutnya, tikaman pertama terkena tangan kiri mangsa yang cuba mempertahankan diri namun, tikaman kedua tepat mengenai dada kiri menyebabkan mangsa rebah.
“Suspek dan mangsa dipercayai tinggal serumah di kawasan lombong berkenaan yang dibuka sejak Januari lalu.
“Motif pembunuhan dipercayai akibat suspek tidak puas hati dan marah apabila mangsa menegurnya supaya menghentikan tabiat menggunakan dadah selain tidak mengganggu keluarga mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.
“Polis menganggap kes ini selesai kerana suspek telah ditahan dan akan direman esok. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," ujarnya.
Sementara itu, seorang saksi yang juga pekerja lombong berkenaan, Mohd. Zulkarnain Mohd. Ariffin, 29, mendakwa, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek bertengkar di luar kantin selepas mereka bersarapan.
Dalam pada itu, pengurus syarikat lombong berkenaan yang juga adik mangsa, Mohd. Kamaruzaman Zakaria, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adiknya berusia 24 tahun yang juga kerani di lombong berkenaan.
“Sebelum ini abang saya pernah memberitahu dia ada sedikit masalah dan berselisih faham dengan suspek kerana abang saya menegurnya supaya tidak melakukan aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi undang-undang," katanya.

No comments:

Post a Comment