KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah apabila motosikal mereka terbabas ketika melalui selekoh berbukit di Jalan Merapoh-Gua Musang dekat Kuala Lipis awal hari ini.
  
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata Mohamad Aliff Asyraff Adnan, 22, berasal dari Kampung Hutan Bonggol, Kota Bharu, mati ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis.
  
"Rakannya, Ahmad Saddam Mohd Nor, 21, dari Kampung Tok Dokong Bachang, Kota Bharu, Kelantan, parah dan kini dirawat di hospital Kuala Lipis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
  
Beliau berkata dalam kejadian 4 pagi itu, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lipis.
  
"Dipercayai mangsa yang menunggang laju hilang kawalan ketika melalui selekoh yang berbukit. Akibat itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya. - Bernama