Mohd Mokhtar (tiga, kiri) melihat antara eksibit yang dirampas.
Mohd Mokhtar (tiga, kiri) melihat antara eksibit yang dirampas.
JOHOR BAHRU - Polis menahan dua individu selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM428,900 bersama peralatan dan bahan memproses dadah serta dua buah kereta dalam serbuan berasingan di dua lokasi di sekitar bandar raya ini, 31 Ogos lalu.

Serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu dibuat di sebuah pangsapuri di Taman Desa Tebrau dan Taman Desa Cemerlang, dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki dan wanita warga tempatan berusia 44 dan 23 tahun yang kini ditangkap dipercayai mempunyai hubungan rapat seterusnya disyaki menjalankan aktiviti memproses serta mengedar dadah di sekitar Johor Bahru.

Menurutnya, lokasi atau rumah berkenaan dipercayai bukanlah makmal mini memproses dadah, sebaliknya tempat menyimpan peralatan dan bahan memproses dadah.

“Terdapat kekurangan peralatan dan bahan kimia bagi memproses dadah ketika polis menyerbu dua lokasi ini. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan lain-lain sindiket dan suspek terlibat.

“Di Taman Desa Tebrau, polis merampas dadah disyaki ketamin anggaran berat 14.984 kilogram (Kg) dengan harga pasaran RM374,000, 22.3 gram dadah disyaki syabu bernilai RM5,500 selain 22.3 gram dadah disyaki heroin (RM1,000), pil ekstasi sebanyak 14 biji (RM700),
40 biji pil eramin 5 bernilai RM800, bahan dan peralatan memproses dadah, wang tunai RM5,000 serta dua buah kereta bernilai RM100,000.

“Manakala pemeriksaan di Taman Desa Cemerlang membawa kepada penemuan pil ekstasi sebanyak 380 biji dengan harga pasaran RM19,000 diikuti 650 biji pil eramin 5 (RM13,000), dadah disyaki ketamin seberat 52 gram (RM1,000) serta dadah disyaki syabu seberat 33.2 gram (RM8,300),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menganggarkan kesemua dadah itu dibekalkan kepada 76,653 penagih dan keseluruhan nilai rampasan merangkumi dadah serta harta adalah RM528,900.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Suspek lelaki mempunyai empat rekod kesalahan lampau, tiga daripadanya di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Teman wanitanya mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.