Search This Blog

Saturday, September 29, 2012

Padah tak tahu malu

MELAKA: Tindakan seorang pengawal keselamatan menunjukkan kemaluannya kepada pensyarah wanita, Selasa lalu, mengundang padah apabila didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Terdahulu, R Siva, 24, yang berbaju putih dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Ida Rahayu Sharif.


Bapa kepada dua anak dari Ladang Serkam, Merlimau, itu kemudian membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan, Siva didakwa mengaibkan kehormatan seseorang dengan menunjukkan kemaluannya untuk dilihat oleh Mahfuza Jamaluddin, 28, di depan lif tingkat satu, Blok C, Hospital Melaka, kira-kira jam 3.50 petang, pada 25 September lalu.


Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasar fakta kes, ketika pengadu menunggu lif selepas mengadakan temu janji dengan doktor, dia terkejut apabila seorang pengawal keselamatan di kawasan itu menunjukkan kemaluannya.

Pengadu kemudian melaporkan perkara itu kepada polis supaya tindakan dilakukan pihak berkuasa.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron.

Tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan pendapatan kecil dan perlu menanggung dua anak serta bapanya yang tua.


Bagaimanapun, Juhari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal selain mengesahkan tertuduh tiada rekod jenayah lampau.

No comments:

Post a Comment