Lembu 'lepak' di jalan, penunggang motosikal cedera
Sukarelawan JPAM memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang, kelmarin.
RANTAU PANJANG – Dua penunggang motosikal cedera setelah merempuh seekor lembu yang berkeliaran di jalan dalam satu kejadian berhampiran Simpang Empat Salam di sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian, seorang mangsa, Razahan Hamid, 23, yang menunggang sendirian, dalam perjalanan dari Taman Bakti ke rumahnya di Gual Periok.

Setibanya di tempat kejadian, mangsa tidak dapat mengelak haiwan berkenaan dan merempuhnya hingga terjatuh.

Berikutan kejadian, tangan serta siku mangsa cedera dan dihantar sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Manakala mangsa kedua, mengalami cedera ringan.

Adik Razahan, Safuan, 20, berkata, abangnya dalam perjalanan pulang menghantar motosikal ke rumahnya.

Menurutnya, keadaan di tempat kejadian gelap menyebabkan abangnya tidak dapat mengelak haiwan ternakan di laluan itu.

"Pihak terbabit patut menyediakan kemudahan lampu di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian berulang.

“Pemilik lembu pula tidak seharusnya membiarkan ternakan berada atas jalan terutama pada waktu malam kerana bakal mengundang musibah kepada pengguna jalan.

“Manakala, pihak berkuasa juga patut memantau haiwan yang tidak dikurung,” katanya.