Lemas ketika bapa tidur.
Walaupun kecil tetapi kolam terbiar ini telah meragut nyawa Mohd Amar.
MARANG – Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam terbiar terletak kira-kira lima meter dari rumahnya di Kampung Undang, dekat sini, sebelum mayat mangsa dijumpai bapanya kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Dalam kejadian antara jam 2.30 hingga 3.20 petang itu, bapa mangsa, Mohd Izat@ Jamali Zukardi Muda, 31, sedang tidur di rumah itu manakala ibu mangsa, Akmal Kamilah Mat Rani, 27, tiada di rumah kerana bekerja di sebuah kedai songket di Marang.

Mohd Amar Zakwan, 3, dipercayai keluar melalui pintu hadapan rumahnya tanpa disedari sesiapa malah sebaik sahaja tersedar dari tidur, bapanya menyangka anak sulungnya itu ke rumah neneknya, Kalsom Abdullah, 73, terletak tidak jauh dari rumah mereka.

Bagaimanapun, sangkaan Mohd Izat yang bekerja sebagai peniaga barangan runcit meleset apabila kira-kira jam 6.30 petang dia terlihat selipar kepunyaan anaknya terapung di permukaan kolam itu dan membawa kepada penemuan tubuh anaknya di dasar kolam.

“Apabila terlihat sahaja seliparnya terapung di permukaan kolam itu, tanpa berfikir panjang, saya terus membuka baju dan terjun ke dalam kolam separas dada lelaki dewasa itu sebelum menemui tubuhnya tetapi ketika itu kakinya sudah mengalami kekejangan.

“Saya pegang kakinya dan biarkan kepalanya ke bawah sambil menepuk-nepuk badannya namun ia sudah terlambat kerana Mohd Amar seperti sudah tidak lagi bernyawa,” kata Mohd Izat kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Mangsa tidak pernah bermain sendirian

SEJURUS selepas mangsa dijumpai, kanak-kanak malang tersebut kemudiannya segera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala  Terengganu apabila cubaan bapa mangsa untuk menyelamatkan anak sulungnya itu menemui jalan buntu.

Ibu mangsa juga bergegas ke hospital berkenaan selepas menerima berita malang itu dan terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu kerana Mohd Amar sebelum ini tidak pernah bermain seorang diri di kolam terbiar itu.

Mohd Izat berkata, anak sulungnya itu tidak pernah bermain di kolam terbiar itu kerana kebanyakan masa anaknya dihabiskan bersama neneknya juga merupakan moyang kepada anaknya itu yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka.

Apa yang dikesalkan katanya, sebelum ini sudah berulang kali dia meminta kebenaran ahli keluarganya untuk menimbus semula kolam terbiar itu agar perkara seumpama itu tidak berlaku, namun luahannya tidak pernah diendahkan.

“Sedih teringatkan perkara itu, sudah berbuih mulut saya meminta kebenaran mereka (ahli keluarga terbabit) untuk menimbus semula kolam terbiar yang dahulunya dijadikan kolam ternakan ikan keli.

Sudah beberapa tahun ia terbiar begitu,” katanya. Dia bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada ahli keluarganya sebaliknya menerima hakikat dan ketentuan ALLAH kerana kejadian itu berpunca daripada  kecuaiannya yang menyebabkan anaknya keluar dari rumah.

Jenazah Mohd Amar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Atas Tol, Kuala Terengganu malam kelmarin, dan Mohd Izat mendakwa telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Chendering, Kuala  Terengganu dan tidak mahu ia diperbesarkan lagi.

Sementara itu, moyang mangsa, Kalsom berkata, arwah cicitnya itu manja sejak seminggu lalu dan kelihatan tidak sabar untuk ke sekolah dan perkara itu berulang kali dinyatakan walaupun dia masih belum cukup umur lagi seperti  sudah tahu ajalnya akan tiba.

“Dia (cicit) sudah menunjukkan perubahan agak pelik sejak seminggu ini malah dia juga tidak mahu berenggang langsung dengan saya, dia juga mahu diriba dan dibelai tetapi saya tidak menyangka ia akan berakhir dengan kejadian  seperti ini,” katanya.