Kereta warga emas dirosakkan
Kereta Kien Mun rosak apabila remaja yang berang selepas terlibat dalam 'kemalangan' dengannya bertindak memecahkan cermin kenderaannya itu.
CHERAS - Hasrat sepasang warga emas yang ingin membawa saudaranya yang datang dari Taiwan untuk bersiar-siar di Putrajaya terbantut apabila kenderaan mereka naiki terlibat dalam 'kemalangan' di Jalan Persiaran Utama Bandar Damai Perdana dekat sini.

Mangsa, Choy Kien Mun, 74, berkata, dia yang memandu kereta Mercedes membuat pusingan U di jalan tersebut sebelum tiba-tiba sebuah motosikal jatuh di belakang kenderaannya.

Menurutnya, dia kemudian berhenti di tepi jalan dan tidak sampai lima minit, penuggang motosikal terbabit meluru ke kenderaannya dan merosakkan cermin hadapan dan kedua- dua sisi keretanya menggunakan topi keledar.

“Dia memukul lebih daripada 15 kali menyebabkan saya terkejut dan takut untuk keluar kerana bimbang diri dicederakan.

"Kemudian tidak sampai dua minit, datang lagi tiga motosikal dengan enam remaja lingkungan umur 19 hingga 20 tahun.

“Dia bertindak luar kawalan dan seolah-olah di bawah pengaruh ubat apabila kelihatan seronok memukul cermin kereta saya sehingga pecah,” katanya kepada Sinar Harian ketika membuat aduan di Pejabat DAP, di sini.Hadir sama, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Evonne Lee Shim Moi serta Eddie Ng.

Kien Mun berkata, kira-kira 15 minit kemudian datang seorang lelaki Melayu yang cuba meleraikan keadaan dan meminta dia keluar untuk menyelesaikan keadaan tersebut dan ketika itu juga empat anggota polis yang sedang meronda di kawasan tersebut tiba.

Katanya, bagaimanapun enam rakan remaja tadi terus menghilangkan diri ketika anggota polis tiba dan dia mengesyaki mereka berpakat untuk memalsukan kemalangan bagi memeras ugut pemandu.

Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Damai Perdana dan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kajang namun kecewa apabila dituduh menjadi penyebab 'kemalangan' sedangkan mempunyai bukti tiada  perlanggaran berlaku.

Isteri mangsa, His Hsuen, 67, berkata, remaja terbabit tiada hak untuk menghukum dengan merosakkan kenderaan suaminya sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000.

Sementara itu, Nie Ching berkata, pihaknya berharap siasatan dijalankan bagi menjejak pesalah terbabit memandangkan mereka turut melakukan jenayah dengan merosakkan kenderaan mangsa.

Katanya, beliau percaya 'kemalangan' tersebut dirancang awak kerana pernah berlaku sebelum ini. “Pemandu diperas ugut kumpulan samseng itu selepas kemalangan.

Kita mohon pihak polis dapat meningkatkan rondaan di kawasan ini,” katanya.