Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa
Rakan mangsa menunjukkan kawasan mangsa lemas.
Jeritan kawan, terkilan tak dapat bantu mangsa
Noraini (kanan) dan Abd Raman tidak dapat menahan sedih sewaktu menunggu jenazah anaknya.
IPOH - “Saya hanya mampu melihat kawan saya hanyut dibawa arus deras sungai sambil terkapai-kapai meminta tolong supaya dia diselamatkan.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya sendiri hampir lemas dihanyutkan arus. Nasib baik saya sempat berpaut pada akar kayu yang terjuntai di tebing sungai,” kata Mohd Izuddin Shuid, 11.

Mohd Izuddin adalah salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas yang meragut nyawa rakannya, Mohd Aiman Izuddin Abd Raman, 12, di Sungai Perak berhampiran Kampung Temelong, Lenggong, semalam.

Menurutnya, dia bersama mangsa dan empat rakan lain berusia antara 8 hingga 15 tahun ke Sungai Perak selepas solat Jumaat untuk bermandi-manda di situ.

Katanya, dia yang baru pandai berenang turut cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebaliknya terus dibawa arus sungai.

Tambahnya, seorang lagi rakan mereka Taufik Mat Yunus, 12, yang mandi bersama cuba menarik tangan Mohd Aiman Izuddin tetapi tidak berjaya.

“Sebelum itu, saya serta rakan lain hanya mandi di air paras perut saja tetapi tidak menyangka boleh sampai ke kawasan yang berpasir jerlus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ibu mangsa, Noraini Abdul Kadir, 47, berkata, Rabu lalu anaknya berselera menjamah sarapan pagi.

“Pagi Rabu lalu, anak saya makan tiga bungkus nasi lemak yang dibeli sedangkan sebelum ini dia jarang bersarapan. Bagaimanapun, saya tidak menyangka itu adalah petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Noraini berkata, dia dan suami, Abd Raman Adam, 62, sering menasihati  anaknya supaya tidak mandi sungai kerana arus sungai deras dan berbahaya berikutan musim hujan.

“Anak saya ada meminta izin untuk ke sungai bersama rakan-rakannya namun saya tidak membenarkannya.

“Namun, kira-kira jam 3.30 petang tadi (kelmarin) seorang penduduk kampung datang ke rumah dan memberitahu anak saya hilang ketika mandi sungai bersama rakannya,” katanya.

Jenazah murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Temelong itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temelong selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan seramai 12 anggota termasuk enam Unit Selam Skuba dari balai tersebut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memulakan kerja mencari mangsa.

“Kami menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama enam jam sebelum ia dihentikan pada jam 8 malam semalam (kelmarin). Operasi kemudiannya bersambung pada jam 7 pagi tadi (semalam).

“Mayat ditemui penduduk kampung lebih kurang jam 7.09 pagi tadi (semalam) di beting pasir berhampiran empangan Kenering selepas air surut berhampiran Pulau Cheri, Kampung Luat yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Temelong tempat di mana mangsa dipercayai lemas.

“Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 7.20 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Noraini (kanan) dan Abd Raman tidak dapat menahan sedih sewaktu menunggu jenazah anaknya. Gambar kanan: Rakan mangsa  menunjukkan kawasan mangsa lemas.