Eksekutif pelantar minyak dicekup
Lima penagih termasuk seorang eksekutif di pelantar minyak ditahan dalam serbuan di port penagih dekat Alor Mak Bah.
DUNGUN – Tindakan licik sekumpulan penagih menjadikan bangsal memotong kayu di satu kawasan terpencil dalam semak di Kampung Alor Mak Bah, dekat sini sebagai port untuk melepaskan gian akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa.

Hasil risikan, port yang dijadikan tumpuan penagih di kawasan sekitar itu diserbu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan berjaya menahan lima suspek.

Dalam serbuan diketuai Inspektor Wahid Sujani itu, salah seorang suspek ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, merupakan seorang eksekutif di pelantar minyak.

Suspek terbabit dikatakan mengambil kesempatan sempena cuti dua minggu untuk menemui rakannya sebelum berkongsi dadah di dalam port yang letaknya agak terpencil dari rumah penduduk itu.

Suspek, 30an dari Pulau Serai Dungun difahamkan berpendapatan RM11,000 sebulan itu dikatakan sudah dua tahun terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan perbuatannya itu tidak diketahui isterinya yang dinikahi sejak lebih dua tahun lalu yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Ujian saringan air kencing mendapati lima suspek termasuk kakitangan di pelantar minyak itu didapati positif dadah methampethamine.

Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah berdekatan, polis terpaksa berhempas pulas apabila dua suspek yang terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa bertindak meloloskan diri dengan memanjat pagar selain meredah semak sebelum berjaya ditahan.

Dua daripadanya dikatakan rakan kepada lima suspek yang ditahan dalam serbuan di bangsal memotong kayu turut disahkan positif dadah.


Dapat ribuan ringgit jual dadah kepada pelajar

Sementara itu, usaha polis untuk menjejaki saki baki penagih serta dalang yang membekal bahan terlarang itu terus membuahkan hasil, apabila 10 lagi ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Bukit Bauk, Batu Tujuh, Dungun.

Hasil siasatan, seorang daripada suspek berusia 21 itu dikatakan sudah dua tahun terjebak dengan aktiviti pengedaran dadah dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan dengan menjual dadah kepada pelajar kolej.

Pelajar semester akhir jurusan kejuruteraan itu turut mengakui terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah kerana menghadapi masalah kewangan dan ia merupakan satu cara untuk mendapatkan wang cara mudah.

Pelajar yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu ditahan reman kerana disyaki memiliki dadah apabila polis berjaya menemui kira-kira 90 biji pil kuda dipercayai dalam kawalannya ketika serbuan di rumah sewa diduduki bersama sahabatnya yang belajar di kolej sama itu.

Sembilan lagi yang lain berusia 19 hingga 22 tahun, masing-masing berasal dari Kota Bharu, Kelantan; Jertih, Besut; Manir, Marang dan Permaisuri kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Enam daripadanya selepas menjalani ujian saringan air kencing disahkan positif dadah jenis methampethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua daripada enam pelajar direman itu turut disiasat mengikut Seksyen 12( 2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki bahan yang dilarang itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan tangkapan tersebut menasihatkan remaja agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat segelintir individu yang menjanjikan pendapatan lumayan melalui pekerjaan yang tidak diketahui menyalahi undang-undang.

“Sesiapa yang terbabit dalam aktiviti seperti ini bakal menerima natijahnya apabila mereka dihadapkan ke mahkamah nanti,” katanya.