Buaya muncul di Sungai Lembing
Buaya muncul di Sungai Lembing
Buaya muncul di Sungai Lembing
Zainab bersama Niyamil menunjukkan tempat yang didakwa anaknya ternampak kelibat buaya jenis tembaga (gambar kiri) tersebut di Sungai Kuala Kenau.
KUANTAN – Belum reda kisah sekumpulan gajah yang menyerang kebun di Kampung Kuala Kenau di sini, kini penduduk digemparkan pula dengan kehadiran buaya di sungai ini menyebabkan mereka tidak lagi berani untuk ke sungai.

Penduduk, Zainab Chik, 52 mendakwa minggu lalu anaknya yang dikenali sebagai Kahar memberitahu melihat kelibat sang bedal itu di Sungai Pasir Kubur ketika sedang memasang pukat di kawasan tersebut.

Menurutnya, selepas dimaklumkan, dia terus pergi ke tempat tersebut namun buaya itu sudah tiada.

“Sebelum ini, kami memang selalu memasang pukat di sini, tetapi sejak anak saya terlihat kelibat buaya tersebut, kami sudah tidak berani lagi ke sungai. Buaya jenis tembaga itu dipercayai sepanjang dua meter panjang.

“Memang ada satu lubuk di sungai ini dikenali sebagai Lubuk Penaga, namun kami tidak pernah pula mendengar ada buaya di sungai ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Kenau, Niyamil Hassan berkata, kemungkinan buaya yang dilihat penduduk tersesat ke sungai ini.

Menurutnya, jika dilihat pada faktor keadaan semasa, air sungai di sini tidak sesuai dengan habitat buaya tersebut memandangkan ia lebih sejuk kerana berdekatan dengan air terjun.

“Pada tahun 1940an saya hanya mendengar cerita ada buaya di sungai, namun selepas itu tidak lagi timbul kisah tersebut.

“Bagaimanapun, kami masih juga bimbang keselamatan orang kampung dan juga pelancong dari luar yang tidak melepaskan peluang untuk bermandi manda di Pusat Perkelahan Pasir Kubur yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.

Niyamil berkata, setiap hujung minggu dan cuti sekolah, pusat perkelahan ini akan dipenuhi orang ramai dan bimbang ada kejadian yang tidak diingini menyebabkan keselamatan serta nyawa pengunjung terancam.

Beliau berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan dan melakukan pemantauan bagi mengesan akan kewujudan haiwan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya belum menerima aduan daripada penduduk, bagaimanapun akan memantau keadaan sungai di kawasan Sungai Lembing ini dan akan mengambil tindakan segera sekiranya reptilia itu ada di sungai tersebut.