Bekas banduan
Bekas banduan yang baru sebulan keluar penjara ditahan semula kerana dipercayai terbabit dengan kes curi motosikal.
DUNGUN – Menjalani hukuman di sebalik tirai besi bertahun lamanya atas kesalahan lampau tidak mampu mengubah kehidupan seorang anak nelayan, apabila dia kembali terjerumus dalam kancah jenayah.

Biarpun sudah dua tahun menjalani proses pemulihan ketika menjadi tahanan, bekas banduan berusia 30an ini tetap memilih jalan salah sebaik keluar penjara.

Segala aktivitinya itu terbongkar apabila dia ditahan sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Dungun di hadapan rumahnya dekat sini, tengah hari kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan, suspek yang difahamkan baru sebulan keluar dari Penjara Pokok Sena Kedah itu sedang meleraikan sebuah motosikal di hadapan rumahnya.

Hasil semakan, motosikal Honda EX 5 berwarna gelap itu dilaporkan hilang di Marang.

Suspek yang sedang khayal akibat pengambilan dadah kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah sebelum disahkan positif dadah jenis heroin selepas ujian saringan air kencing dilakukan ke atasnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

Bekas banduan ini berkemungkinan bakal kembali ke penjara kerana hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali bakal menanti jika mahkamah berjaya mensabitkan kesalahan ke atasnya.