Search This Blog

Monday, September 10, 2012

Bebas segera lelaki kudung




         
PORT DICKSON: Pertubuhan Kebajikan Global Keselamatan Insan Malaysia merayu pihak berwajib membebaskan seorang lelaki kudung ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan kerana penahanan itu didakwa kesilapan pihak Jabatan Imigresen yang menyangka lelaki berkenaan warga asing.

Presidennya, T Kamalanathan berkata, pada Disember tahun lalu, dia bertanggungjawab menguruskan penghantaran pulang lima warga India yang menjadi tahanan di depoh itu.


Menurutnya, dia terkejut apabila lima warga tanpa izin berkenaan memaklumkan ada seorang lelaki kudung dan pertuturan tidak jelas akibat angin ahmar tidak diketahui kewarganegaraan turut berada di depoh terbabit selepas dipindahkan daripada Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan.

“Saya membuat susulan di Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah selepas dimaklumkan hal itu. “Di depoh berkenaan saya menemui lelaki dimaksudkan yang hanya dikenali sebagai Arumugam oleh pihak Imigresen. Saya dimaklumkan, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Tampin sebelum dimasukkan di Depoh Tahanan Lenggeng sebab ditahan merayau tanpa sebarang dokumen.


“Kejadian 109 tahanan melarikan diri pada 4 April 2011 selepas membakar bangunan tahanan Blok A dan beramai-ramai merempuh pagar sehingga roboh di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng menyebabkan semua warga asing dipindahkan ke depoh-depoh lain. Arumugam juga menjadi mangsa pemindahan itu apabila dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah,” katanya.


Semalam, dia yang mewakili NGO berpusat di ibu negara itu menemui rakan dan keluarga Arumugam di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Lama, Kampung Chetty, di sini, untuk proses membawa keluar Arumugam dari depoh tahanan itu selepas sembilan bulan cuba mengesan mereka.

Menurutnya, dalam waktu terdekat dia akan membawa keluarga dan kenalan Arumugam ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di ibu negara.


Anak saudara Arumugam, D Shanti, 40, berkata, pada mulanya keluarga dan semua kenalan menyangka Arumugam sudah mati selepas dimaklumkan kehilangannya dari sebuah rumah kebajikan di Tampin, dekat sini, dua tahun lalu.

“Saya panggil dia ‘appa’ manakala kenalan dan sami di kuil di tempat Arumugam bekerja sebelum dihantar ke rumah kebajikan memanggilnya ‘pappa’.


“Dia hanya ada dua beradik iaitu abangnya yang juga mendiang ayah saya. Dia tidak berkahwin manakala ibu dan bapa Arumugam juga sudah meninggal dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment