Search This Blog

Thursday, September 6, 2012

Banjir landa Serdang, Kajang



Anggota Bomba dan Penyelamat membawa keluar guru-guru SK Seri Serdang menggunakan sampan setelah mereka terperangkap di sekolah itu akibat banjir kilat di Serdang, Selangor, malam tadi. - utusan/MOHD. HAFIZZUDIN RAMLI
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Hujan lebat sejak pukul 3.30 petang mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Serdang dan Kajang dekat sini dilanda banjir kilat hari ini.
Antara kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Taman Sri Serdang, Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, Sri Andalas, Serdang Jaya, Taman Perumahan Jed Hill dan Sungai Chuah di Kajang.
Banjir petang ini turut menyebabkan laluan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan mengalami kesesakan di kedua-dua arah disebabkan penutupan laluan di Kilometer 303.8 antara Universiti Pertanian Malaysia (UPM) ke Kajang sejak pukul 5.30 petang.
Difahamkan, 400 orang murid dan pelajar, masing-masing dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Indah, terperangkap berikutan banjir yang berlaku di sekitar kedua-dua sekolah tersebut.
Semua murid dan pelajar sekolah berjaya dikeluarkan petang ini manakala usaha membawa keluar 21 orang guru sekolah rendah yang terperangkap masih dijalankan sehingga pukul 10.30 malam.
Selain itu, kira-kira 30 buah kenderaan turut dilaporkan terperangkap apabila paras air tiba-tiba meningkat.
Di ibu negara pula, laluan utama turut mengalami kesesakan yang teruk berikutan hujan lebat ketika warga kota pulang dari kerja. Antara yang terlibat ialah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Jalan Kuching.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, enam anggota dari Balai Serdang dikejarkan ke Taman Sri Serdang sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat pada pukul 6.08 petang.
"Sebaik sahaja pasukan kami tiba, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap giat dilakukan berikutan paras air yang naik sehingga mencecah satu meter.
"Dua warga emas antara mangsa yang berjaya dikeluarkan selepas terperangkap dalam rumah mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan untuk membantu mangsa banjir yang terperangkap di Taman Perumahan Jed Hill dan Sungai Chuah.
Jurucakap Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pula memberitahu, laluan dari arah ibu negara menghala ke Seremban, Negeri Sembilan di Lebuh Raya Utara-Selatan mengalami kesesakan berikutan paras air melimpah di Kilometer 303.8.
"Kesesakan berlaku sepanjang 15 kilometer menyebabkan pengguna kenderaan terpaksa menggunakan laluan alternatif ke Bangi dan Kajang," katanya.

No comments:

Post a Comment