Search This Blog

Sunday, September 30, 2012

13 nelayan Vietnam cuba lari diri

13 nelayan cuba lari diri
Nelayan Vietnam ini ditahan kerana menceroboh dan mengutip hasil l
aut di taman laut perairan Pulau Perhentian.
BACHOK – Cubaan 13 nelayan Vietnam untuk melarikan diri ketika menangkap ikan di perairan Pulau Perhentian Khamis lalu, gagal apabila mereka ditahan anggota penguat kuasa Polis Di Raja Malaysia (69 Komando Pasukan Gerak Khas) bersama Pasukan Taman Laut (PTL) Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Dr Sukarno Wagiman berkata, vesel yang dinaiki 13 nelayan itu terpaksa dikejar kira- kira sejam sebelum berjaya ditahan pada jam 3 pagi 27 September lalu.

Menurutnya, hasil maklumat penduduk tempatan, PTL 24 dan PTL 11 dan PTL 1 keluar lebih awal untuk membuat rondaan di perairan Pulau Perhentian Besar dan mendapati sebuah vesel dengan nombor pendaftaran LNF 599 (C2) sedang menjalankan operasi selaman mengutip hidupan marin di taman laut.

Mereka juga melakukan kesalahan dalam kawasan taman laut iaitu berada 0.2 batu nautika dari Tanjung Pinang Seribu, Pulau Perhentian Besar.

“Apabila mereka mengetahui kehadiran pihak kami yang diketuai Zulkifli Mohd Jupri, mereka memecut vesel untuk melarikan diri dan disebabkan laut bergelora, kami menghadapi kesukaran untuk mendekati vesel tersebut.

“Selepas dua jam mengejar mereka dengan bantuan 69 Komando, barulah kami berjaya menahan mereka. Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 3,000 kilogram hasil marin ditemui termasuk pelbagai spesies ikan seperti Bumphead Parrotfish, siput turban, siput mata lembu, gewang, gamat dan pelbagai peralatan menyelam,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Perikanan Tawang, Bachok.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Perlesenan, Jabatan Taman Laut Malaysia, Abd Muntalib Juli dan Pegawai Latihan Skuba Pulau Perhentian, Inspektor Abu Ribon yang turut terlibat dalam operasi tersebut.

Dr Sukarno berkata, vesel tersebut  diketuai seorang tekong yang bernama Ngo Van Dong bersama 12 awak-awak.

Beliau percaya nelayan tersebut melakukan aktiviti selaman dan menangkap ikan menggunakan senjata seperti tempuling atau ‘spear gun’ berdasarkan kesan yang didapati pada badan ikan tersebut.

Katanya, memandangkan ikan yang ditangkap itu adalah spesies yang jarang ditemui dan dimakan oleh rakyat Malaysia, ia berkemungkinan besar adalah untuk pasaran luar negara seperti Hong Kong.

“Awal tahun ini terdapat satu kes dengan modus operandi yang sama dan kita berjaya menemui senjata yang digunakan untuk membunuh ikan ini. Tetapi kali ini kami masih gagal mengesan peralatan yang mungkin disembunyikan di lokasi rahsia," katanya.

No comments:

Post a Comment