Search This Blog

Friday, August 10, 2012

Suami isteri maut motosikal dinaiki dirempuh kereta, lori


Suami isteri maut motosikal dinaiki dirempuh kereta, lori
Anggota polis menjalankan siasatan awal ke atas mayat mangsa.
SABAK BERNAM - Sepasang suami isteri maut setelah motosikal yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh kereta jenis Proton Waja di KM41 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Sungai Besar.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Musyar Mohammed berkata, mangsa dipercayai keluar dari arah Parit 6 sebelum dilanggar kereta terbabit yang datang dari arah Sabak Bernam.
“Akibat rempuhan tersebut, kereta dan motosikal berkenaan dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum keduanya dilanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan konkrit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, Mohd Fyrus Khan Pas Abdul Rahman, 51, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Sarimah Mohd Salleh, 49, maut ketika menerima rawatan di Hospital  Tunku Ampuan Jemaah.
Musyar berkata, kedua mangsa tersebut mengalami luka dan pendarahan di bahagian kepala dan badan akibat rempuhan.
“Sementara itu, pemandu kereta turut cedera parah manakala penumpangnya pula patah tangan kiri dan kini sedang menjalani rawatan di HTAJ,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori berkenaan, Muhd Rozaimie Che Lokman, 31, berkata, dia terkejut apabila kedua kenderaan tersebut memasuki laluan bertentangan namun tidak sempat untuk mengelak.
“Kejadian berlaku hanya dalam sekip mata dan saya cuba mengelak dari merempuh kereta dan motosikal terbabit namun tidak sempat,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, dia sedang dalam perjalanan dari Jalan Klang Lama ke Tanjung Malim bagi menghantar bekalan barangan konkrit,” katanya.
Rozaimi berkata, dia masih trauma dan tidak percaya terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Kejadian hari ini betul-betul membuatkan saya trauma berikutan ia hanya berlaku dalam sekelip mata,” katanya.
Anak terkejut terima berita

ANAK sulung kepada mangsa kemalangan tersebut, Muhammad Mushawwar Khan, 28, berkata, dia terkejut apabila penduduk setempat memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa ibu dan ayahnya.
Mushawwar berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kedai membaiki kasut milik ayahnya sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk setempat sekitar jam 2 petang.
“Saya terkejut apabila beberapa orang menghubungi dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya.
Menurut abang sulung kepada empat beradik tersebut, dia kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bagi melihat sendiri lokasi kejadian.
Katanya, ibu bapanya juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kejadian.
Jelasnya, dia merasa amat sedih atas kehilangan kedua ibu bapanya lebih-lebih lagi bakal menyambut Syawal yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Menurutnya, beberapa persediaan perayaan telah disediakan oleh kedua ibu bapanya bagi menyambut perayaan beberapa minggu lagi.
“Saya sedih kerana mereka tidak bersama kami lagi adik beradik namun reda atas pemergian mereka,"

Bomba ambil masa 10 minit

SEMENTARA itu, pihak bomba mengambil masa selama kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Proton Waja tersebut.
Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba Sabak Bernam, Mariyo Ngadiman berkata, pemandu telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam yang turut membantu.
"Mangsa tidak dapat keluar dan pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang,” katanya.
Mariyo berkata, mangsa di bawa ke HTAJ untuk rawatan lanjut setelah berjaya dikeluarkan.
Tambahnya, pihaknya turut dibantu anggota daripada Balai Bomba Sekinchan di lokasi kejadian.

No comments:

Post a Comment