Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

Sindiket curi kuota pekerja asing



Faizal Fazri Othman (tengah) menunjukkan dokumen palsu serta pasport yang berjaya dirampas daripada sindiket pemalsuan dokumen ketika mengadakan sidang media di Wisma Persekutuan, Seremban, semalam.
SEREMBAN 3 Ogos - Satu sindiket mencuri kuota yang diberikan kepada syarikat pengambilan pekerja asing terbongkar selepas Jabatan Imigresen negeri ini menahan lima lelaki dalam beberapa serbuan baru-baru ini.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua lelaki termasuk dua warga asing itu ditahan pada Rabu dan Khamis lalu dalam serbuan di bandar ini dan Kuala Lumpur.
"Kesemua suspek yang ditahan itu berusia 25 hingga 40-an, dipercayai aktif sejak lima bulan lalu, sebelum kita dapat menjejaki modus operandi mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata Faizal, sindiket itu turut didapati memalsukan surat milik pelbagai syarikat yang telah pun terlebih dahulu membayar levi untuk membawa masuk pekerja asing, selain menggunakan dokumen berkenaan untuk mendapatkan visa daripada pihak Imigresen.
"Kita dapati sindiket ini bertindak berani apabila memalsukan pelbagai dokumen termasuk resit bayaran jabatan ini," ujarnya.
Tegas Faizal lagi, modus operandinya cekap kerana selepas memperoleh visa berkenaan, sindiket itu menjual pula pekerja asing kepada mana-mana majikan dengan bayaran levi sehingga RM1,500 berbanding levi yang perlu dibayar majikan kepada kerajaan berjumlah RM1,800 setiap pekerja.
Sindiket berkenaan menjadi ejen kepada mana-mana majikan yang mahu mengambil pekerja asing secara ekspres yang tidak mahu membayar levi kepada kerajaan.
"Dalam serbuan yang sama, pihak Imigresen turut merampas sebanyak 86 pasport pelbagai negara, sejumlah dokumen, resit, cop palsu serta dua buah kereta," jelasnya.
Katanya, kesemua lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 56 (1)k Akta Imigresen dan Seksyen 56 (1) A C akta yang sama yang mana mempunyai dalam pemilikan apa-apa permit masuk, pas dokumen atau perakuan palsu atau dipinda.

No comments:

Post a Comment