Seludup barang guna bas ekspres
Rusli (kanan), Wan Zakaria (dua, kanan) dan anggota UPP bersama mercun dan bunga api yang dirampas, kelmarin.
Seludup barang guna bas ekspres
Rusli (kiri) memeriksa seluar jenama tiruan yang dirampas dalam sekatan jalan raya di Bukit Yong, Pasir Puteh, kelmarin
PASIR PUTEH - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mengesan taktik penyeludup menghantar barang larangan dengan menggunakan bas ekspres bagi mengelak ditangkap menerusi Ops Letup.
Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata, UPP menemui pelbagai barang larangan khususnya dari Thailand dalam kenderaan awam terutamanya bas ekspres untuk dihantar ke destinasi luar Kelantan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati penyeludup cuba mengaburi mata penguat kuasa dengan mengisi pakaian pada bahagian atas beg yang berisi mercun dan bunga api.
“Dalam Ops Letup, kita menumpukan kepada mercun dan bunga api tetapi kita juga tidak melepaskan kesalahan lain seperti barangan tanpa cukai dan sebagainya.
“Kita berjaya mengesan pelbagai jenis pakaian seperti selipar, kain tudung, baju dan seluar jeans jenama tiruan yang mungkin untuk pasaran musim perayaan selain mengesan makanan yang tidak mempunyai status halal dan tanpa kelulusan daripada Jabatan Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai operasi dengan kekuatan 40 anggota di sekatan jalan raya di bawah kendalian UPP Bukit Bunga di Bukit Yong dekat sini, kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Operasi UPP Bukit Bunga, Megat Johari Megat Hanafi dan Komander Kawasan UPP Pengkalan Kubor, Wan Zakaria Hamzah.
Rusli berkata, menerusi sekatan jalan raya di Rantau Panjang dua hari lalu, UPP berjaya menahan 15 Pendatang Tanpa Izin (Pati) warga Myanmar dalam bas ekspres Kuala Lumpur-Rantau Panjang pada jam 10 pagi.
Pati itu katanya, diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebelum dihantar ke depot tahanan di Tanah Merah.
“Barangan yang dirampas akan diserahkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut dan kita akan meneruskan operasi ini bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan,” katanya.
Sekatan jalan raya itu, katanya, untuk mengesan kes yang terlepas daripada kawalan sempadan, bagaimanapun katanya, ia sama sekali tidak menjejaskan pemantauan 24 jam di kawasan sempadan.
Katanya, anggota UPP perlu meneruskan komitmen kerana kegiatan penyeludupan selalunya meningkat pada musim perayaan.
“Kita akui sukar untuk menghapuskan kegiatan ini dalam masa singkat kerana terdapat lebih 100 pengkalan haram dari Pengkalan Kubor ke Jeli sedangkan kita hanya mempunyai 159 anggota.
"Namun yang penting ialah komitmen tinggi anggota untuk berusaha membendungnya,” katanya.