Search This Blog

Friday, August 10, 2012

Remaja dakwa dipukul, diugut


Remaja dakwa dipukul, diugut
Mohammad Faiz (kiri) menunjukkan laporan polis dibuat
Balai Polis Semanggol sambil ditemani bapanya.
ALOR PONGSU (KERIAN) - Gara-gara cuba menyelamatkan motosikal milik keluarga daripada ‘dirampas’, seorang remaja diugut dan ditumbuk sekumpulan lelaki penarik motosikal di bahu jalan sehingga nyaris mengalami nahas jalan raya dalam satu kejadian di pekan Alor Pongsu, pada 7 Ogos lalu.
Mangsa, Mohammad Faiz Mohd Sani, 14, berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, dia menunggang motosikal berkenaan ke sebuah kedai runcit di pekan Alor Pongsu bagi membeli barangan niaga sebelum didatangi tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira secara tiba-tiba yang memintanya berhenti di bahu jalan.
Menurutnya, salah seorang lelaki itu terus meluru ke arahnya dan menolaknya turun dari motosikal tersebut tanpa memberi penjelasan, manakala seorang lagi bertindak menumbuknya di bahagian dada sehingga menyebabkan dia jatuh terlentang di tengah jalan.
“Sebelum ditolak, saya sempat menarik keluar kunci motosikal setelah mengesyaki kumpulan lelaki itu cuba ‘menariknya’, bagaimanapun tindakan saya tidak disenangi seorang lagi lelaki yang terus menumbuk saya.
“Mujur saya sempat mengelak apabila terdapat kenderaan yang lalu di jalan itu, jika tidak pasti saya terlibat dalam kemalangan akibat tindakan tiga lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Mohammad Faiz berkata, susulan dia terjatuh di atas jalan raya, seorang lagi lelaki terbabit bertindak mengangkat saya dan terus menyeluk kedua-dua saku seluar untuk mengambil semula kunci motosikal itu.
Jelasnya, lelaki terbabit menumbuknya sekali lagi di bahagian dada dan mengugut untuk membelasah Mohammad Faiz dengan teruk jika enggan menyerahkan kunci.
“Sejurus selepas kunci diserahkan, mereka menyerahkan sekeping notis penarikan motosikal kepada yang menyatakan kenderaan itu tidak dibayar ansuran bulanan selama tujuh bulan.
“Saya meminta mereka menghubungi ayah saya terlebih dahulu sebelum bertindak merampas kenderaan kami, bagaimanapun rayuan saya tidak diendahkan dan mereka berlalu pergi dengan motosikal itu,” katanya.
Berikutan itu satu laporan polis dibuat Mohammad Faiz di Balai Polis Semanggol sambil ditemani ayahnya.
Sementara itu, ayah mangsa, Mohd Sani Ishak, 40, berasa kesal di atas kejadian itu dan menyifatkan tiga lelaki berkenaan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup menggunakan kekerasan terhadap anaknya semata-mata untuk menarik motosikal miliknya yang mengalami tunggakan ansuran bulanan.
Katanya, dia menuntut keadilan di atas tindakan ala samseng yang ditunjukkan kumpulan lelaki terbabit sehingga menyebabkan anaknya nyaris mengalami kemalangan jalan raya.
“Kami mengakui kesilapan kami yang gagal melunaskan bayaran ansuran bulanan sehingga tujuh bulan, tetapi pihak berkenaan tidak wajar bertindak ala samseng untuk menarik motosikal berkenaan,” katanya.
Mohd Sani turut memohon polis mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan penarik kenderaan yang bersikap ala samseng bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment