Search This Blog

Friday, August 10, 2012

Penoreh getah bebas tuduhan miliki senjata api



10 Ogos 2012
KOTA BHARU – Seorang penoreh getah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam dari tuduhan memiliki senjata api dan peluru, tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Azman Abdullah terhadap Zainal Abidin Mohamad, 24, selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Azman dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang menjadi akses kepada rumah atau senjata api itu.
“Hal ini timbul kerana rumah tempat lokasi senjata api itu ditemui bukanlah milik tertuduh. Maka, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh dari kedua-dua tuduhan tersebut,” katanya.
Zainal Abidin didakwa pada tuduhan pertama memiliki senjata api jenis auto 9 mm di rumah kosong Pengkalan Chengal, Bachok, pada jam 10.15 malam, 24 Oktober.
Manakala tuduhan kedua, dia didakwa memiliki empat butir peluru pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 dan 8(a) Akta Senjata Api (penalti lebih berat 1971) (akta 37).
Sejurus keputusan dibuat semalam, pemuda berkenaan terus berlari meninggalkan mahkamah dengan menaiki kereta kancil yang sedia menunggu di depan pintu pagar kompleks berkenaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Riffin dan peguam bela, Alias Ibrahim.

No comments:

Post a Comment