SIBU - Pengurus cawangan sebuah bank asing di sini ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam satu cubaan merompak di rumahnya di Ulu Sungai Merah, di sini kira-kira 1.30 pagi semalam.
 
Polis mengenal pasti mangsa sebagai Stephen Wong, 31, pengurus cawangan HSBC Bank di sini.
  
Isteri mangsa memberitahu pemberita hari ini, ketika kejadian, dia melihat suaminya bergelut dengan seseorang di dalam bilik tidur mereka.
  
Apabila suaminya meminta dia menyalakan lampu, wanita itu berkata dia nampak suaminya terbaring berhampiran katil dengan kecederaan di seluruh badan yang dipercayai akibat objek tajam.
  
Wong kemudian meminta isterinya menelefon bapa saudaranya untuk mendapatkan bantuan dan sebaik tiba, bapa saudaranya itu segera menghubungi polis namun Wong telahpun meninggal dunia.
 
Polis diketuai pegawai penyiasat kanan ASP Yeoh Chun Shyan tiba sebelum 2 pagi dan membawa mayat mangsa ke bilik mayat Hospital Sibu pada 5 pagi ini.
  
T'iada sebarang tanda rumah itu dipecah masuk dan penyerang dipercayai masuk ke rumah menerusi pintu dapur.

Mangsa yang tinggal di kawasan perumahan itu sejak dua tahun lepas, sudah bberkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur tiga tahun.
  
Hari ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Sri Wong Soon Koh dan seorang pemimpin komuniti, Temenggong Vincent Lau Lee Ming datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada anggota keluarga mendiang tetapi mereka tiada di rumah. - Bernama