Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

Pengawal keselamatan ditemui rentung




         
PUCHONG: Seorang pengawal keselamatan ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di Jalan TPP 5, Taman Perindustrian Puchong, di sini, kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mangsa dikenali sebagai Choong Len Fatt, 67, yang tinggal sendirian di rumah berkenaan ketika kejadian jam 10.30 malam.


Menurutnya, kejadian disedari beberapa orang awam selepas melihat api marak dari rumah berkenaan sebelum menghubungi balai bomba.

Katanya, dua jentera bersama 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong serta Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 10.45 malam.


“Bagaimanapun, lokasi yang jauh menyebabkan anggota bomba lewat menemui tempat kejadian dan mendapati rumah kongsi itu musnah sepenuhnya.


“Anggota yang tiba dimaklumkan oleh rakan serumahnya, mangsa berada dalam bilik. Mayat mangsa kemudian ditemui rentung di bahagian tengah rumah selepas selesai kerja memadam kebakaran.

“Mangsa mungkin tidak sempat melarikan diri kerana tertidur dalam biliknya dan tidak menyedari kebakaran,” katanya.


Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Rajukaiwan Ahba Alok, 49, berkata mangsa yang berasal dari Sungkai, Perak, sudah lama bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu.

“Sebelum kejadian, dia bekerja syif siang mulai jam 5 pagi hingga 6.30 petang sebelum saya mengambil gilirannya.


“Sebaik tamat tugas, dia pulang ke rumah kongsi dan tidak keluar ke mana-mana. Saya tidak tahu rumah itu terbakar sehingga jentera bomba tiba berikutan kedudukannya jauh ke dalam,” katanya.

No comments:

Post a Comment