Search This Blog

Friday, August 10, 2012

Panaskan dulu air tebu



Oleh Muhd Izawan Baharin dan Elrafaei Sapi
am@hmetro.com.my
         
SHAH ALAM: Penyediaan air tebu yang tidak mementingkan soal kebersihan ketika pemprosesan dilakukan boleh mengakibatkan keracunan makanan kepada penggemarnya.

Berdasarkan kajian perubatan, antara bakteria yang boleh mencemari air tebu yang diproses tanpa mementingkan soal kebersihan ialah E Coli, Enterococci, Citrobacter, Klebsiella dan Staphylococcus Aereus yang boleh menyebabkan sakit perut, cirit birit, muntah serta demam.


Pensyarah Mikrobiologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Khalilah Abdul Khalil berkata, sepanjang proses menghasilkan air tebu boleh menyebabkan berlakunya pencemaran jika pengusahanya tidak mementingkan soal kebersihan.

“Apabila kulit tebu dibuang, ia akan dibasuh atau direndam dalam bekas air yang tidak dimasak digunakan berulang kali.


“Mesin tebu dan bekas untuk mengumpulkan air tebu juga tidak dibersihkan dengan sempurna menyebabkan bakteria boleh membiak,” katanya yang ditemui semalam.


Beliau berkata, hampas tebu diletakkan berdekatan boleh menarik lalat menyebabkan kehadiran bakteria yang boleh menyebabkan risiko keracunan makanan lebih tinggi.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan, langkah di India yang juga melakukan cara pemprosesan tebu hampir sama dengan negara ini wajar diikuti.


“Di India dan beberapa negara lain yang juga menggemari air tebu, sedikit perahan limau dimasukkan selepas air itu diperah.

“Ia bukan saja menambah keenakan air tebu, malah asid limau mengurangkan jumlah bakteria di dalam air berkenaan,” katanya.


Dr Khalilah berkata, pengguna juga boleh memanaskan air tebu dibeli kira-kira lima minit sebelum dihidang bagi membunuh bakteria.


“Ia tidak perlu sampai mendidih kerana boleh menghilangkan vitamin C di dalam minuman itu, cukup sekadar panas sedikit bagi mengurangkan bakteria,” katanya.


Menurutnya, air tebu yang mengandungi vitamin C dan gula kompleks sebenarnya baik untuk kesihatan dan mereka yang menghidap diabetes juga boleh menikmatinya.

No comments:

Post a Comment