Mat Jusoh Mat Ali
Che Esah menunjukkan salah satu jubah kesayangan yang sering dipakai arwah suaminya kepada anak dan menantunya di rumahnya di Kampung Tok Randok, Hulu Terengganu.
KAMPUNG TOK RANDOK- "Kebiasaannya dia lebih selesa tidak berbaju bila berada di rumah tetapi berlainan pula kelakuannya dua hari lepas kerana dia memakai baju. Tak sangka rupanya perubahan itu sebenarnya petanda dia akan pergi selamanya," luah Che Esah Mahmud, 73.
Suaminya, Mat Jusoh Mat Ali, 72, maut dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi kelmarin di laluan Kampung Tok Randok ke Kampung Bukit Diman setelah motosikal ditungganginya bertembung sebuah lori kecil.
Menurut Che Esah, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya yang lebih mesra dengan panggilan 'Cik' oleh anak dan cucunya setelah dimaklumkan menantunya, Normila Mahmud, 45.
Katanya, pagi itu Normila datang ke rumahnya lalu memeluknya sambil menangis teresak-esak.
“Makcik hanya mampu duduk atas tilam di bahagian dapur ini kerana tidak sihat beberapa hari sebelum puasa baru-baru ini. Semalam (kelmarin), secara tiba-tiba, menantu datang memeluk makcik sambil menangis hingga membuatkan makcik terkejut melihat keadaannya.
“Makcik cuba tenangkannya dan minta dia ceritakan perkara sebenar. Hanya selepas beberapa ketika dia memberitahu Cik telah meninggal dan ketika itu makcik hanya mampu mengucap dan beristighfar supaya tenang menerima berita itu," katanya.
Che Esah berkata, dia melihat arwah suaminya itu agak berlainan namun tidak dapat jelaskan apa sebenarnya kelainan itu.
"Malah, ketika memerhatinya membasuh pinggan, tiba-tiba hati makcik terdetik bertanya sendiri adakah orang sakit atau orang sihat akan ‘pergi’ dahulu.
“Tidak sangka, rupanya dia dijemput Ilahi terlebih dahulu walaupun makcik yang selama ini sakit. Paling ketara perubahannya ialah dia memakai baju dua hari lepas ketika berada di rumah kerana dia tidak suka berbuat demikian sebelum ini,” katanya.
Che Esah memberitahu, suaminya itu keluar rumah untuk ke kebun sawit yang terletak di kampung berkenaan kira-kira jam 8 pagi hari kejadian, sebelum pulang kembali ke rumah sekitar jam 10.30 pagi.
“Biasanya selepas pulang dari kebun, dia pasti akan masuk rumah untuk mandi, berehat lalu kemudiannya bersiap sedia untuk ke masjid. Namun semalam (kelmarin), dia sekadar pulang menghantar galah mengait kelapa sawit.
“Dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak berbaju, dia kembali menunggang motosikal untuk memaklumkan kepada pemandu lori kecil di Kampung Bukit Diman, buah sawit masih ada di kebunnya. Biasanya, arwah hanya menelefon sahaja tetapi semalam dia memaklumkannya sendiri,” katanya.